Kiriman pada: Mon, Mar 23rd, 2015

1MDB: Bank Negara dukung bidang dalam kuasanya – Zeti

Kongsi maklumat ini
Tags

Dr-Zeti-Akhtar-AzizKUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mendukung bidang dalam kuasa dan perundangannya membabitkan siasatan dan pengauditan yang dijalankan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Sebagai bank pusat, kami akan mendukung apa sahaja dalam bidang kuasa dan perundangan kami beroperasi, ini penting. Kami bertanggungjawab ke atasnya,” kata Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama CNBC apabila ditanya mengenai audit yang dijalankan ke atas syarikat pembangunan strategik milik kerajaan itu.

Ditanya jika beliau sendiri yakin hasil audit itu perlu diumumkan, beliau berkata : “Saya rasa (itulah) hasratnya… semua orang kini menunggu untuk melihat keputusan siasatan yang sedang dijalankan.
Mengenai kemungkinan Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Malaysia yang antara lain disebabkan obligasi hutang 1MDB, Gabenor itu berkata: “Kita sudah menjalankan ujian stres ke atas peminjam individu dan institusi individu, dan sistem secara menyeluruh, dan mengikut kategorinya institusi kewangan kita mungkin terjejas dari segi keuntungan, namun ia kekal kukuh dan padu.

“Mereka memiliki modal yang baik, melepasi syarat minimum. Itu sahaja yang dapat saya katakan.”

Mengenai kadar faedah, Zeti mengulangi bahawa Malaysia mengekalkannya memandangkan ia masih akomodatif dan menyokong pertumbuhan.

“Permintaan untuk pertumbuhan dan peningkatan pelaburan masih sangat ketara. Pelaburan berkembang sembilan peratus dan pertumbuhan pinjaman kira-kira 10 peratus. Oleh itu, permintaan kedua-duanya kukuh, isi rumah selain perniagaan swasta,” katanya kepada pengacara CNBC Martin Soong dalam temu bual selama empat minit yang disiarkan pada pagi Isnin.

Dalam kenyataan dasar monetari baru-baru ini, bank pusat mengekalkan kadar faedah pada 3.25 peratus.

Mengenai perkembangan lain, Zeti berkata persekitaran semasa yang naik turun mendorong bank pusat melakukan liberalisasi bagi membolehkan perniagaan memiliki akaun mata wang asing untuk tujuan melindung nilai.

Beliau berkata tidak ada halangan tempoh masa, serta jumlah perniagaan yang boleh dilindungi nilai bagi mengurus pendedahan kepada tukaran mata wang asing dalam persekitaran yang naik turun ini.

Ditanya sama ada Malaysia sudah berusaha supaya tidak terperangkap dalam kelas pendapatan sederhana, Zeti berkata: “Sehingga ini mungkin belum mencukupi. Namun sudah ada dalam perancangan. Perubahan dalam bidang pendidikan dan kesihatan, ini sedang diperhebat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.”

Beliau yakin Malaysia masih mempunyai masa untuk merealisasikan matlamatnya jika pembaharuan ini dilaksanakan dengan jayanya.

Ditanya mengenai rancangannya: “Saya mungkin menulis buku. Sebahagiannya disebabkan ada banyak cerita yang belum diketahui,” kata gabenor ketujuh bank negara itu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.