Kiriman pada: Fri, Jul 3rd, 2015

1MDB nafi pernah salur dana ke akaun milik Najib

Kongsi maklumat ini
Tags

1mdb1KUALA LUMPUR: Syarikat pembangunan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menafikan pernah menyalurkan dana ke akaun milik perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sepertimana didakwa sebuah portal berita.

Kenyataan yang dikeluarkan 1MDB adalah merujuk kepada laporan terbaharu Sarawak Report yang mendakwa berlaku penyelewengan sejumlah besar dana berbilion ringgit yang dikaitkan dengan 1MDB dimasukkan terus ke akaun peribadi milik Najib.

“Merujuk kepada laporan media yang diterbitkan awal hari ini, 1MDB ingin memperjelaskan bahawa syarikat ini tidak pernah menyalurkan dana kepada perdana menteri,” kata kenyataan itu.

Tindakan portal tersebut menerbitkan artikel berkenaan disifatkan 1MDB sebagai tidak bertanggungjawab dan sengaja menjatuhkan kredibiliti syarikat.

Kenyataan itu turut mempertikaikan kesahihan bukti yang dibentangkan di dalam laporan tersebut memandangkan portal sama pernah dikaitkan dengan pendedahan yang diragui.

Memetik kejadian penahanan bekas eksekutif PetroSaudi Xavier Andre Justo di Thailand baru-baru ini, kenyataan itu mengandaikan perkara sama mungkin berlaku dalam pendedahan kali ini.

Pada hujung bulan lepas, Justo didakwa menggunakan dokumen yang telah dipinda membabitkan 1MDB untuk memeras ugut bekas majikannya.

“Pendedahan terbaharu mencetuskan kebimbangan tentang kesahihan beberapa dokumen yang ‘didedahkan’ di mana beberapa media dan blog antaranya Sarawak Report gunakan untuk menipu orang ramai dan memfitnah syarikat dan kerajaan.

“Kami terkejut apabila dokumen seperti ini, di mana keberadaan dan kesahihannya belum dipastikan, masih diguna untuk memfitnah 1MDB.”

Kenyataan itu mengulangi kenyataan yang dibuat ketua pegawai eksekutifnya Arul Kanda pada Khamis di mana 1MDB sedang bekerjasama dalam siasatan dan menggesa semua pihak agar menunggu hasil siasatan sebelum membuat sebarang dakwaan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.