Kiriman pada: Wed, Feb 10th, 2016

2,000 Hektar Hutan Simpan Kedah Diteroka Secara Haram

Kongsi maklumat ini
Tags

lcgljALOR SETAR – Lebih 2,000 hektar kawasan hutan simpan di Kedah telah diteroka secara haram untuk dijadikan kawasan pertanian baharu, kata Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah Ku Azmi Ku Aman.

Beliau berkata antara kawasan yang serius diterokai secara haram adalah daerah Langkawi dan Kubang Pasu apabila kawasan hutan ditebang dan ditanam dengan pokok getah di dalam kawasan berskala besar.

“Terdapat kira-kira 300,000 hektar hutan simpan di negeri ini dan jika tidak dibendung dengan cepat menyebabkan hutan simpan hilang dan musnah begitu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui Kompleks Penerangan dan Penyiaran Kedah hari ini.

Katanya penduduk tempatan yang menerokai hutan tersebut bertujuan untuk mendapatkan geran hak milik kekal daripada kerajaan negeri selepas mereka menerokai kawasan tersebut dalam tempoh yang lama.

“Seperti di hutan simpan Bukit Tiang Layar di Kubang Pasu, telah digazetkan sebagai hutan simpan kekal pada tahun lepas dan kami dapati penduduk telah meneroka secara haram,” katanya.

Ku Azmi berkata pihaknya akan bertemu Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bagi membincangkan perkara itu untuk penyelesaian segera.

Beliau berkata jabatan itu akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memberi sedikit saguhati kepada peneroka haram itu supaya mereka keluar dari kawasan yang diteroka.

“Kami juga sentiasa melakukan pemantauan di kawasan hutan simpan dengan melakukan pemantauan menerusi dron. Kami mahu kekang secara habis-habisan penerokaan secara haram hutan simpan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menggalakkan semua sekolah mewujudkan taman herba dalam usaha menggalakkan pelajar mempelajari tanaman herba yang baik untuk kesihatan.

Katanya selain itu agensi kerajaan turut disaran menanam tanaman herba di premis mereka dan ia merupakan sebahagian daripada program penghijauan yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan.

“Kami akan membantu dan memberi perkhidmatan hutan kepada mereka. Kami ada pelbagai benih tanaman herba untuk disediakan kepada mereka yang berminat,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.