Kiriman pada: Tue, Feb 16th, 2016

24,000 tiket percuma habis diedar di Stadium Darul Aman

Kongsi maklumat ini
Tags

TIKET PERCUMA  / STADIUM DARULAMANALOR SETAR: Semua 24,000 tiket percuma untuk perlawanan Kedah menentang Terengganu di Stadium Darul Aman, di sini, malam ini, habis diedar sebentar tadi. Selain 18,000 tiket yang habis diedar melalui kaunter jam 2 petang tadi, baki 6,000 lagi tiket percuma selesai diagihkan kepada 30 ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA). Pengerusi Jawatankuasa Tiket KFA, Shaharol Niza Omar, berkata semua tiket itu habis diedarkan pada jam 2 petang selepas kaunter mula dibuka sejak 10 pagi tadi. Mengulas lanjut, beliau berkata semua tiket percuma itu, diedarkan melalui lapan kaunter yang dibuka di Stadium Darul Aman. “Kaunter dibuka pada jam 10 hingga 11.30 pagi dan kami berehat satu jam sebelum ia dibuka kembali jam 1 petang bagi memberi peluang kepada pekerja mengambil tiket pada waktu rehat sehingga semuanya habis diedar satu jam selepas itu. “Secara keseluruhannya dalam tempoh dua jam setengah saja semua tiket sudah habis diedarkan tadi,” katanya ketika dihubungi. Pada masa sama, beliau berkata, proses pengedaran tiket berjalan lancar tanpa ada sebarang insiden yang tidak diingini atau provokasi daripada peminat. Katanya, peminat sukan popular itu boleh mula memasuki stadium pada jam 7 petang dengan perlawanan bermula jam 9 malam dan ia akan turut disiarkan secara langsung melalui TV3. Pemberian tiket percuma diumumkan oleh KFA melalui Timbalan Presidennya, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, semalam sebagai penghargaan kepada skuad Helang Merah melangkah ke Liga Super, selain sokongan tidak berbelah bahagi peminat sukan itu di Kedah. Kedah yang melangkah ke saingan Liga Super musim ini, kini dalam misi memburu kemenangan sulung selepas tewas kepada FELDA United 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Sabtu lalu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.