Kiriman pada: Tue, Mar 10th, 2015

PM Menyaksikan Pemeteraian Perjanjian Antara Melaka Dan Negeri Sembilan Berhubung Bekalan Air Terawat

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKPutrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan pemeteraian perjanjian tambahan antara Melaka dan Negeri Sembilan berhubung pembekalan air terawat bagi membantu mengatasi masalah kekurangan air bersih di Negeri Sembilan.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pengarah Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Ir Mohd Khalid Nasir dan Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) Wan Rasdi Wan Ismail.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan perjanjian itu, Idris berkata dalam perjanjian itu, kerajaan Melaka akan membekalkan kira-kira 1.1 juta gelen air terawat sehari melalui Tampin dan Batang Melaka untuk kegunaan 5,100 pengguna di Negeri Sembilan.

“Dalam perjanjian ini, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kadar bayaran yang dipersetujui ialah RM1.40 bagi satu meter padu, dan tempoh bekalan air terawat kepada Negeri Sembilan bermula 1 Mac ini sehingga 1 Jun,” katanya.

Tambahnya, Melaka menghantar bekalan air tersebut berikutan negeri itu mempunyai lebihan air bersih dan tidak menghadapi risiko ketiadaan bekalan.

Bekalan air terawat akan dibekalkan melalui Loji Gadek yang mana air mentah dibekalkan daripada Empangan Jus.

“Bekalan Air terawat dari Daerah Tampin bergantung kepada paras minimum Kolah Bukit Tiga (Bekalan ke Tampin) iaitu 4.0 meter. Sekiranya paras ini mencecah di bawah 4.0 meter, maka bekalan itu akan dihentikan,” jelas beliau.

Terdahulu, Najib mempengerusikan Mesyuarat ke-123 Menteri Besar dan Ketua Menteri di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Perdana Putra, bagi menyelaras pentadbiran antara negeri dan membincangkan isu-isu berbangkit.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.