Kiriman pada: Thu, Feb 18th, 2016

32 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Di Pulau Pinang

Kongsi maklumat ini
Tags

jdghGeorgetown – Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 32 rakyat asing dalam Ops Ikrar di sekitar Bayan Baru, di sini awal hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen negeri Abdul Rahman Hassan berkata kesemua mereka yang berumur antara 20 dan 45 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di Terminal Bas Sungai Nibong, restoran ikan bakar dan makanan laut di sekitar kawasan itu bermula 10 malam tadi hingga 3 pagi ini.

“Sepuluh lelaki Bangladesh ditahan di Terminal Bas Sungai Nibong kerana tiada dokumen yang sah manakala 13 lelaki dan sembilan wanita Thailand ditahan di kedai makan kerana menyalah guna pas lawatan sosial,” katanya.

Sementara itu, Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot pukat tunda kelas B1 berpangkalan di Jeti Batu Maung, dekat sini kerana menceroboh kawasan zon perikanan yang menyalahi syarat lesen bot zon B1 iaitu menangkap ikan kurang dari lapan batu nautika.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah 2 Pulau Pinang Laksamana Pertama Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata bot itu ditahan di kedudukan tujuh batu nautika barat daya Pulau Kendi, di sini kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

“Ketika ditahan, terdapat seorang tekong bersama dua awak-awak warga tempatan berusia lingkungan 57 hingga 60 tahun sedang menangkap ikan. APMM turut menyita hasil tangkapan ikan sebanyak 400 kilogram dari bot itu,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.