Kiriman pada: Tue, Apr 21st, 2015

32 Peratus Kawasan Dalam Negara Telah Diliputi Teknologi 4G

Kongsi maklumat ini
Tags

4g_mastKuala Lumpur – Sebanyak 32 peratus kawasan dalam negara khususnya di bandar-bandar besar telah diliputi teknologi 4G, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata Malaysia adalah antara negara ASEAN terpantas melaksanakan teknologi terkini dengan pelaksanaan 4G sejak awal 2013.

“Kalau nak kata kita terlalu cepat berbanding Korea, mungkin kita ke belakang. Tetapi dalam kalangan negara-negara Asean, kita antara yang tercepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya, di Dewan Negara.

Beliau berkata di Indonesia misalnya, lesen 4G baru sahaja diberikan kepada negara itu pada akhir tahun lepas.

Sementara itu, Senator Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah ketika mencelah sesi penggulungan itu membangkitkan mengenai ketegasan beberapa negara termasuk China, yang melarang penggunaan laman sosial Facebook.

Beliau mencadangkan Malaysia melakukan perkara yang serupa demi kepentingan rakyat.

Datuk Seri Ahmad Shabery berkata sehingga kini kerajaan belum bersedia berbuat demikian kerana ia melibatkan keputusan yang besar.

“Akaun Facebook ada 15 juta dan 15 juta itu tidak semua cakap negatif. Ada yang berhubung dengan keluarga dan membuat perniagaan,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau percaya rakyat semakin memahami pelaksanaan cukai itu dengan penerangan yang giat dijalankan media massa dan pelbagai saluran lain.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.