Kiriman pada: Sun, Jan 17th, 2016

40 Ribu Pelajar Akan Terima Bantuan Persekolahan Mulai Isnin

Kongsi maklumat ini
Tags

ismail-sabriPutrajaya – Sebanyak 40,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di 191 bahagian UMNO di seluruh negara akan menerima bantuan persekolahan berupa beg sekolah, set alat tulis dan botol air minuman di bawah program Bantuan Sekolah Transformasi Bumiputera 2016 (Best 2016).

Bantuan berkenaan yang melibatkan kos keseluruhan RM2 juta dan dibiayai oleh Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan mula diagihkan oleh pemimpin Pemuda dan Puteri UMNO di peringkat bahagian mulai esok.

Majlis perasmian program Best 2016 disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Selain YPM, program bantuan berkenaan turut melibatkan Biro Pendidikan Pemuda UMNO, Biro Pendidikan Puteri UMNO dan Pertubuhan Pemikir Muda Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian tersebut, Ismail Sabri berkata ini merupakan tahun kedua penganjuran program berkenaan.

Jika ada peruntukan pada masa akan datang program Best boleh dijadikan acara tahunan bagi membantu pelajar yang memerlukan, jelas beliau.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Ketua Puteri UMNO Bahagian sudah pun mengenal pasti golongan sasaran yang akan menerima bantuan melalui program ini, katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga sayap pergerakan UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri digalakkan menjalankan program secara bersama kerana pendekatan itu lebih menjimatkan kos selain meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan anggota parti.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.