Kiriman pada: Thu, Nov 26th, 2015

400 Gerai Pameran Di HPPNK 2015

Kongsi maklumat ini
Tags

dxjtKUALA LUMPUR – Sebagai menghargai usaha petani di negara ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Kementerian Permodenan Pertanian Sarawak akan mengadakan Sambutan Hari Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2015.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setiap hari petani berusaha untuk menghasilkan dan mengeluarkan makanan bagi keperluan harian rakyat di negara ini.

“Setiap hari kita makan nasi, ayam, sayur dan ikan tetapi tidak semua berterima kasih kepada mereka (peladang, petani dan nelayan).

“Nasib baik tidak semua rakyat Malaysia mahu bekerja di pejabat dan ada sebilangan rakyat negara kita memikul tanggungjawab besar menjadi petani.

Sebagai contoh, nelayan mempertaruhkan nyawa di laut bagi memastikan sumber protein mencukupi. Jadi program ini suatu usaha kita menunjukkan penghargaan kepada mereka,” katanya.

Katanya, program kali ke-40 itu akan diadakan pada 27 November hingga 3 Disember ini bertempat di pekarangan Dewan Suarah, Kota Samarahan, Sarawak.

“Ini adalah karnival terbesar yang sepatutnya dinikmati seluruh rakyat Sarawak dan berharap rakan-rakan dari Semenanjung serta Sabah turut menyertainya.

“Kita akan pastikan karnival ini ceria dan menjadi sebuah program kekeluargaan dengan lebih dari 200 jenis haiwan serta pelbagai bentuk aspek pertanian dipersembahkan,” katanya.

Menurutnya, Sarawak dipilih buat kali kedua untuk menjadi tuan rumah Hari Peladang Penternak dan Nelayan peringkat kebangsaan selepas 28 tahun lalu.

“Kota Samarahan dipilih kerana kawasan berkenaan mempunyai banyak pusat-pusat pengajian. Dengan sendirinya ia sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian,” katanya.

Jelasnya, Sarawak bukan sahaja sebuah negeri yang menghasilkan banyak produk pertanian, malah mempunyai keunikan dari sudut spesies hidupan lautnya.

Ahmad Shabery berkata, program berkenaan akan disertai kira-kira 400 gerai pameran pelbagai produk dari 80 agensi kerajaan dan swasta.

“Ia suatu karnival besar dengan 200 spesies ternakan dan peliharaan dan 200 jenis ikan laut dan air tawar.

“Selain itu terdapat pameran 90 jenis hasil pertanian dan 110 jenis tanaman serta pameran kebudayaan,” katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia yang bercadang untuk bercuti sempena cuti persekolahan mengambil peluang untuk menyertai karnival berunsurkan pendidikan itu.

“Perkhidmatan shuttle bas secara percuma turut disediakan di beberapa lokasi bagi memudahkan pengunjung ke pekarangan Dewan Suarah, Kota Samarahan.

Pendedahan mengenai teknologi pertanian

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, karnival tersebut juga dapat memberi pendedahan kepada rakyat negara ini mengenai teknologi dalam pertanian.

“Mungkin ramai yang tidak pernah melihat kaedah-kaedah teknologi moden digunakan dalam penternakan.

“Sebagai contoh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menggunakan teknologi pengenalan Frekuensi Radio (RFID) terhadap haiwan ternakan.

“Dari situ kita akan dapat tahu jumlah populasi haiwan itu. Daripada data yang diperoleh, kita tahu adakah sumber daging ini mencukupi untuk keperluan rakyat di negara kita,” katanya.

Tambahnya, kecanggihan teknologi bukan sahaja digunakan dalam bidang pengeluaran daging malah bagi sektor pengeluaran ikan air tawar.

“Bagaimana kita mahu menentukan hasil pengeluaran meningkat, adakah air yang digunakan bersih dan bagaimana untuk kita proses dan eksportkan.

“Ini semua hasil daripada teknologi masa kina yang membantu kita untuk terus memastikan bidang perladangan, pertanian dan nelayan di negara kita terus maju,” katanya.

Galak orang ramai ceburi bidang pertanian

Mengulas mengenai fokus penganjuran Karnival Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan, Ahmad Shabery berkata, ia bertujuan untuk memberi galakan serta meyakinkan orang ramai bahawa sektor pertanian mampu memberi pulangan lumayan.

“Kita mahu graduan di negara ini menceburkan diri dalam dalam bidang pertanian dan menjadi usahawan.

“Sebagai contoh usahawan karavan tani yang hanya bekerja sekitar empat jam sehari, pendapatan mereka bagi satu karavan adalah sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

“Pendapatan ini jauh lebih besar daripada jumlah yang diterima oleh seorang graduan lepasan universiti,” katanya.

Jelasnya, tanggapan bahawa pertanian hanya untuk golongan tua berusia sekitar 65 tahun ke atas perlu ditangkis.

“Mungkin dari segi imej dan penampilan, kita mahu tonjolkan anak muda berpakaian segak berada di tepi sawah atau di ladang memelihara lembu atau kerbau menaiki pacuan empat roda berjenama.

“Kita boleh gambarkan bahawa pertanian bukan membawa imej kemiskinan tetapi bertani menggambarkan kejayaan,” katanya.

Ahmad Shabery turut berharap lebih ramai anak-anak muda hari ini menceburi bidang pertanian dan menyarankan petani sedia ada meneruskan pekerjaan mereka.

“Bahayanya jika semua tinggalkan bidang ini kepada negara akan menyebabkan negara dilanda masalah kekurangan sumber makanan.

“Benar kita boleh mengimport dari negara lain, tetapi harus diingatkan jika berlaku sesuatu musibah atau malapetaka kepada negara pengeksport, apakan akan jadi kepada kita? ,” soalnya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.