Kiriman pada: Fri, Jul 3rd, 2015

50 Rumah Projek Baiti Jannati TNB Hampir Siap

Kongsi maklumat ini
Tags

Projek Baiti Jannati TNBMuar – Pembinaan 50 buah rumah di bawah projek ‘Baiti Jannati’ (Rumah Ku Syurga Ku) di seluruh semenanjung yang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang tahun ini, kini sudah 80 peratus siap.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata pembinaan kesemua rumah itu membabitkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

“Sebanyak 50 buah rumah para penerima yang dibantu menerusi projek Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku ini adalah daripada kalangan orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin di luar bandar.

“Kita bantu bina semula rumah mereka. Di Johor untuk tahun ini hanya sebuah rumah terlibat iaitu di Segamat dan dijangka siap selepas Aidilfitri ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan TNB Peringkat Negeri 2015 di Masjid Al-Takwa Parit Nawi, Bukit Mor di sini, malam tadi.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail dan Pengurus Besar TNB Johor, Mohd Yusuf Ibrahim.

Mohd Aminuddin berkata, projek Baiti Jannati itu merupakan agihan semula daripada wang zakat TNB di setiap negeri untuk membantu golongan miskin seperti membaik pulih rumah mereka dengan kos hampir RM20,000 bagi sebuah rumah.

Beliau berkata TNB telah membayar zakat sebanyak RM29.65 juta untuk tahun ini manakala di negeri ini untuk tempoh sama sebanyak RM1.951 juta sudah dibayar.

Menurutnya program CSR lain yang dilaksanakan syarikat pada tahun ini ialah sumbangan wang tunai kepada 650 penerima dan masjid di 12 negeri menerusi program Ihya Ramadan.

Katanya, lebih 50 penerima dipilih menerima sumbangan berkenaan dan setiap masjid terpilih menerima sumbangan RM2,000.

Selain itu Mohd Aminuddin berkata TNB turut menaja sebuah sekolah pintar di daerah ini iaitu Sekolah Kebangsaan Jorak sejak tiga tahun lalu dengan peruntukan RM150,000 yang akan berakhir tahun ini.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.