Kiriman pada: Thu, Feb 9th, 2017

500 Tan Bekalan Makanan Dan Keperluan Untuk Rohingya Diserah

Kongsi maklumat ini
Tags

Yangon – Sebanyak 500 tan bekalan makanan dan keperluan bernilai RM5 juta diserahkan kepada kerajaan Myanmar hari ini untuk diagih kepada etnik Rohingya di Rakhine.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya akan memastikan bekalan itu diterima oleh komuniti Rohingya di Myanmar.

“Saya yakin dengan sikap keterbukaan Myanmar dan (misi) ini satu kejayaan besar.

“Wilayah Rakhine memang memerlukan bantuan ini, penghantaran bantuan akan diuruskan oleh Kedutaan Malaysia di Myanmar dan ini prosedur operasi standard biasa,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan bantuan itu di Terminal Antarabangsa Thilawa, Yangon di sini.

Penyerahan bekalan secara simbolik itu dilakukan ketua misi kemanusiaan ‘Food Flotilla for Myanmar’ Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye.

Ditanya mengenai protes yang dilakukan sekumpulan rakyat Myanmar terhadap misi itu, Reezal Merican berkata bantahan dibuat di depan pintu masuk pelabuhan berkenaan.

Bagaimanapun kawalan keselamatan pihak berkuasa yang baik memastikan kelompok itu tidak dibenarkan masuk ke kawasan penyerahan bantuan, katanya.

“…harap semua tidak membuat sebarang andaian dan besarkan cerita,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata pihaknya yakin bantuan yang diserahkan tersebut akan sampai ke tangan etnik Rohingya yang disasarkan.

“Alhamdulillah, misi ini telah selamat tiba di Yangon dan ini hasil kerjasama baik antara kedua-dua negara,” katanya.

Misi yang masuk hari ketujuh ini membawa 2,300 tan makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.

‘Food Flotilla for Myanmar’ yang dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu disertai 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta wakil badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.