Kiriman pada: Fri, Jan 27th, 2017

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Kinabalu – Kekuatan Sabah untuk menuju masa depan yang lebih baik terletak pada perpaduan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata kepelbagaian tradisi, bahasa etnik dan kepercayaan agama di Sabah tidak merenggangkan rakyat, tetapi sebaliknya mewujudkan keharmonian dan memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan rakyat.

“Mari kita pupuk semangat muhibah dalam semua yang kita lakukan. Perpaduan merupakan kunci kepada kejayaan bagi semua yang kami rancang untuk Sabah.

“Kestabilan politik dan ekonomi berterusan adalah penting dalam memastikan Sabah dapat membangun setara dengan negeri lain di Malaysia dan ini termasuk meningkatkan taraf hidup.

“Mari kita rapatkan barisan dan berusaha ke arah Sabah yang lebih progresif,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2017, di sini, hari ini.

Sebagai kerajaan yang prihatin terhadap kesejahteraan semua rakyatnya, Musa berkata kerajaan akan terus mendengar maklum balas daripada semua lapisan masyarakat termasuk kaum Cina.

“Saya beri jaminan kepada masyarakat Cina bahawa kami sentiasa terbuka untuk mendengar daripada anda dan untuk mencari jalan bagi merumuskan penyelesaian yang memanfaatkan masyarakat ini dan amnya penduduk Sabah,” katanya.

Musa mengambil perhatian bahawa kerajaan mengiktiraf sumbangan dan sokongan masyarakat Cina di Malaysia, terutamanya dalam memajukan sektor ekonomi dan perdagangan.

Beliau turut mengakui bahawa aspek keselamatan amat penting dalam memastikan perdagangan dan aktiviti harian lain, seperti menyambut dan meraikan perayaan, dapat dilakukan tanpa rasa bimbang dan takut.

“Menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), kami telah gariskan langkah-langkah untuk memastikan keselamatan kita dan kedaulatan kita”.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia di Sabah untuk menyokong langkah keselamatan yang dilaksanakan kerajaan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dan memastikan semua pekerja di negeri itu didokumenkan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.