Kiriman pada: Thu, Feb 2nd, 2017

8 Termasuk Anak Timbalan Menteri Akan Didakwa Esok

Kongsi maklumat ini
Tags

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (kiri), ketika diserang pengunjung yang dipercayai dari Pasir Salak di perkarangan bangunan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kuala Lumpur – Lapan individu termasuk anak seorang timbalan menteri yang merusuh di lobi bangunan Parlimen pada 24 November tahun lalu akan didakwa di mahkamah di sini, esok.

Kelapan-lapan mereka terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 33 tahun hingga 55 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata kertas siasatan sudah siap dan polis akan menuduh lapan individu terbabit mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

“Kesemua yang akan didakwa itu adalah antara lebih 10 individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini.

Beliau sebelum itu menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di antara Datuk Mazlan Lazim dengan penyandang jawatan itu sebelum ini, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, satu pergaduhan berlaku membabitkan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan penyokong Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Ia susulan tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang memanggil Tajuddin dengan kata kesat dalam Sidang Dewan Rakyat, beberapa hari sebelum kejadian itu.

Khalid bertindak demikian selepas Tajuddin mengeluarkan perkataan sinis terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.