Kiriman pada: Tue, Jul 14th, 2015

95 Kematian Dalam Tempoh Empat Hari Op Selamat

Kongsi maklumat ini
Tags

TAN SRI KHALID ABU BAKARKuala Lumpur – Sebanyak 95 kematian dicatatkan dalam tempoh empat hari Op Selamat 7/2015 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang bermula di seluruh negara Jumaat lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata daripada jumlah itu, 57 kes merupakan kemalangan melibatkan motosikal, motokar (19), pejalan kaki (tujuh), van (tujuh), lori (tiga) dan lain-lain (dua).

Katanya ini bermakna purata sehari 24 kes kematian dicatatkan, peningkatan yang sungguh ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini yang kebiasaannya 18 kes secara purata.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat pegawai kanan polis di Mes Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman, hari ini.

“Seperti yang kita tahu kemalangan motosikal mendahului kemalangan maut yang lain…jadi kita kena fikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan jangan pentingkan diri-sendiri ketika memandu,” katanya.

Khalid berkata mengikut analisis pihaknya banyak punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memeriksa terlebih dahulu keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan jauh.

Katanya berita kemalangan maut ketika musim perayaan Aidilfitri amat menyedihkan bagi keluarga yang sedang menunggu di kampung.

Sementara itu, Khalid berkata berdasarkan borang maklumat balik kampung di seluruh negara, sejumlah 1,185 orang telah pulang untuk berhari raya di kampung halaman masing-masing.

Khalid berkata apabila orang ramai memaklumkan kepada polis bahawa mereka pulang ke kampung, maka polis dapat membuat perancangan melakukan rondaan di kawasan rumah yang dikosongkan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.