Kiriman pada: Mon, Jan 16th, 2017

Abang Johari Harapan Baharu Sarawak

Kongsi maklumat ini
Tags

Disebabkan kewibawaan, ketokohan dan popularitinya, ayahnya, Tun Abang Haji Openg dilantik menjadi Gabenor pertama Sarawak pada 1963.

Tun Openg yang meninggal dunia pada 1969, disenangi kerana sifatnya yang begitu ambil peduli terhadap kebajikan dan masa depan rakyat berbilang kaum ketika berdepan kemiskinan, ancaman komunis dan konfrontasi.

Ketua Menteri Sarawak keenam, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang berbintang Leo dilahirkan di Limbang pada 4 Ogos 1950 ketika ayahnya menjadi Pegawai Daerah.

Nama beliau memang sentiasa berada dalam radar yang berpotensi menjadi Ketua Menteri.

Pernah mengalahkan Tan Sri Adenan Satem dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden yang dramatik pada 1998, namun kejayaan itu hampir membawa padah kepada masa depan politiknya.

Meskipun tidak dipilih untuk menjadi Ketua Menteri selepas Tun Taib Mahmud berundur pada 2014, namun beliau tidak merajuk, merungut atau memberontak.

Mungkin beliau memetik kearifan daripada kata-kata Robert H Schuller: “Jangan sama sekali menebang pokok pada musim sejuk. Jangan sama sekali membuat keputusan negatif dan keputusan penting ketika anda di bawah dan dalam keadaan ‘mood’ paling tidak baik. Tunggu. Bersabar. Badai taufan akan berlalu.

Dan akhirnya musim bunga akan menjelma.” Akhirnya, bagi Abang Johari, musim bunga itu tiba sebaik sahaja beliau menerima berita dipilih dan dilantik sebagai Ketua Menteri dan seterusnya mengangkat sumpah di hadapan mentornya Yang di-Pertua Negeri Sarawak, petang kelmarin.

Ketua Menteri baharu Sarawak yang memiliki Sarjana dari United Kingdom dan seorang yang kuat membaca, memiliki watak yang disenangi kerana sikap rendah diri dan bersedia mendengar rintihan dan masalah rakyat, perlu menggunakan amanah dengan sebaik mungkin.

Beri peluang bukti keupayaan Abang Johari perlu diberi kesempatan dan ruang waktu untuk membuktikan keupayaan dan ketokohannya.

Namun, dengan sikapnya yang terkenal sebagai menteri yang gigih dan komited terhadap tugas yang diberi, Abang Johari tentu akan memberi yang terbaik kepada rakyat ketika beliau berada di kerusi itu.

Memang beliau bukan sahaja tidak dapat mengelak daripada dibandingkan dengan Adenan yang berada dalam kelasnya, Abang Johari bakal berdepan cabaran mengisi ‘kasut besar’ yang ditinggalkan.

Caranya adalah dengan mencetuskan idea lebih segar, dasar lebih pragmatik dan merakyat, sesuai dengan tuntutan dan aspirasi rakyat.

Melalui tindakan politik dan strategi naratif dan komunikasi politik berkesan oleh pasukannya, Abang Johari perlu melakukan sesuatu yang berorientasikan rakyat dan diterima rakyat.

Untuk mengharapkan Abang Johari mempunyai gaya yang sama dengan Adenan adalah tidak adil kerana tidak mungkin dua manusia dan pemimpin memiliki perwatakan dan personaliti yang sama.

Yang pasti, Abang Johari perlu bergerak pantas dengan mengamalkan dasar dan prinsip keterangkuman.

Beliau memang dikenali sebagai pemimpin yang adil dan bersikap sederhana, berkat asuhan pendidikan diterimanya di Sekolah St Joseph, Kuching dan pendedahan awal ayahnya kepada masyarakat pedalaman pada 1960-an.

Agenda Adenan yang terhenti di tengah jalan, bakal diteruskan oleh pemimpin yang pernah menerajui pelbagai kementerian dengan cemerlang itu, termasuk dari segi autonomi dan royalti minyak.

Beliau perlu segera menangkis fitnah jahat dan tuduhan liar bahawa beliau akan membawa UMNO ke Sarawak. Abang Johari merupakan harapan baharu Sarawak untuk meneruskan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Berdasarkan rekod silam, Abang Johari adalah pemimpin yang tidak berkompromi dengan integriti, bersih daripada sebarang skandal dan salah guna kuasa. Kewibawaan dan ketokohannya tidak diragui.

Saya pernah menyaksikan bagaimana beliau tampil di pentas antarabangsa di Universiti Oxford, London beberapa tahun lalu, di hadapan profesor dan tetamu bukan calang-calang, Abang Johari berucap dalam bahasa Inggeris yang begitu lancar dan berkesan, tanpa teks dan berjaya memukau khalayak.

Di akhir ucapannya, khalayak memberi tepukan untuk beberapa minit. Saya yang turut berada dalam khalayak pada majlis itu berasa amat bangga dengan beliau.

Harap penuhi impian rakyat Rakyat Sarawak kini mengharapkan Abang Johari memiliki ketegasan, kepintaran dan komitmen Adenan. Dan, Abang Johari, dengan kearifan, kebijaksanaan dan pengalaman panjang beliau tentu mampu memenuhi impian dan harapan kita semua.

Sebelum ini, setiap kali berita bekas Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud akan melepaskan jawatannya, setiap kali itulah nama Abang Johari dikaitkan sebagai calon yang akan menggantikannya.

Namun demikian, apabila Taib benar-benar melepaskan kedudukan kerusi yang sangat lama disandangnya itu, tiba-tiba orang yang tidak mempunyai kedudukan yang kanan pula diangkat naik.

Bagaimanapun, Abang Johari terus bekerja seperti biasa. Beliau tetap bekerja untuk parti dan rakyat. Beliau tidak memprotes. Tidak merajuk. Jauh sekali memberontak. Semangat setia kawan sentiasa dikekalkan.

Namun beliau tetap menaruh harapan. Beliau mengutamakan kepentingan parti. Beliau jujur dan ikhlas. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Segala sifat terpuji ayahanda beliau diteladaninya.

Bertuahlah Negeri Sarawak memiliki puteranya yang sabar ini. Nah, kini Abang Johari bersedia meneruskan khidmat baktinya untuk bumi Sarawak yang dicintainya. Selamat berkhidmat Abang Jo!

Oleh Dr Jeniri Amir

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.