Kiriman pada: Mon, Jan 11th, 2016

Adnan Nafi Pembalakan Di Hutan Simpan Lentang

Kongsi maklumat ini
Tags

ghklKUANTAN – Kerajaan Pahang hari ini menafikan dakwaan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) bahawa pembalakan berlaku di Hutan Simpan Lentang hingga menyebabkan banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi pada 11 November lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kawasan yang dibangkitkan Presiden Peka Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil merupakan kawasan projek pembinaan mini hidro yang telah diluluskan kepada Pasdec Holdings Bhd.

Syarikat itu telah memohon untuk mengeluarkan kayu pada 4 Januari 2013, katanya.

“Projek ini melibatkan pemasangan paip yang akan mengalirkan air dari Sungai Tanglir ke Sungai Benus dan melibatkan penebangan pokok di jajaran yang terlibat dengan pemasangan paip berkenaan.

“Kawasan projek yang dikeluarkan lesen ini tidak terlibat dengan kawasan banjir lumpur, iaitu melebihi lima kilometer dan aliran air juga berbeza,” katanya pada satu sidang media.

Adnan menambah sebelum lesen pembalakan dikeluarkan, satu perbincangan melibatkan pihak Pasdec, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Galian, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Janda Baik, Pejabat Hutan Daerah Bentong, jururunding dan kontraktor telah diadakan pada 29 Jun 2015.

Hasil perbincangan mendapati tiada halangan projek diteruskan dengan pemantauan rapi dan lesen dikeluarkan pada 15 Julai 2015 hingga 14 Oktober 2015 sebelum dilanjutkan bagi tempoh tiga bulan berkuatkuasa 15 Oktober 2015 hingga 14 Januari 2016, tambahnya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.