Kiriman pada: Tue, Aug 4th, 2015

Agama Vs Adat: Perkara Apa Yang Tak Perlu Sebenarnya Dalam Perkahwinan?

Kongsi maklumat ini
Tags

f53dMasyarakat Melayu begitu berpegang teguh kepada adat resam, terutamanya dalam tuntutan perkahwinan. Sesuatu perkahwinan akan dianggap seperti tidak lengkap jika adat resam diketepikan.
Semua orang pun mahu kahwin bukan? Tetapi, kenapa masih ramai yang belum berkahwin atau memilih untuk menangguhkan perkahwinan?
Salah satu sebabnya berkait rapat dengan kos yang perlu ditanggung. Jika difikirkan kembali, kenapa kos sesebuah perkahwinan terlalu mahal? Jom kita tinjau faktor-faktor di bawah:
1. Wang hantaran
Hantaran merupakan satu bentuk hadiah berupa wang tunai yang ditetapkan oleh pihak keluarga perempuan. Pada zaman ini, kadarnya berbeza-beza sehingga ada yang meletakkan nilai mengikut kelulusan wanita tersebut. Jangan terkejut pada zaman sekarang ini nilai hantaran RM10 ribu pun masih dianggap rendah!

Sekiranya hantaran tersebut diberikan kepada wanita itu, maka wang tersebut dianggap milik keluarganya. Keluarganya boleh mengambil wang tersebut untuk menanggung kos majlis kenduri kahwin dan sebagainya.
2. Hantaran barangan
Antara soalan utama yang bermain di fikiran ialah “Berapa dulang perlu ada?”, “Barang apa yang perlu dibeli?”, “Cukupkah kalau sekadar memberi tiga dulang hantaran?”, “Berapa jumlah duit yang perlu dikeluarkan?” dan lain-lain. Sememangnya, pihak pengantin pasti sibuk menentukan barang hantaran yang perlu diberikan kepada pasangan masing-masing dalam majlis perkahwinan.

Masyarakat Melayu memang cukup pantang soal hantaran barangan. Bukan setakat itu, gubahan pada dulang-dulang hantaran pun diteliti dan diambil berat. Maklumlah, berkahwin hanya sekali seumur hidup. Jadi, segalanya perlu nampak cantik dan teratur.
3. Pelamin dan bersanding
Pelamin juga adalah salah satu perkara wajib yang perlu ada pada mana-mana majlis perkahwinan. Jujurnya, amat jarang sekali sesebuah majlis perkahwinan diadakan tanpa pelamin. Ini kerana pelamin inilah yang digunakan pasangan mempelai untuk duduk bersanding di hadapan tetamu dan merupakan tempat yang paling sesuai untuk bergambar kenangan bersama ahli keluarga dan sanak saudara serta rakan-rakan yang hadir.

Mungkin ada pihak yang mempersoalkan, “Kalau tiada pelamin, kat mana nak ambil gambar bersama pengantin?”. Ketiadaan pelamin juga barangkali dianggap seperti tidak lengkap bagi sesebuah majlis perkahwinan.
4. ‘Doorgift’ atau cenderamata tetamu
Kebanyakan majlis perkahwinan zaman sekarang mesti dilengkapi dengan ‘doorgift’ atau cenderamata untuk diberikan kepada tetamu yang hadir. Kalau zaman dahulu, bunga telur adalah satu bentuk ‘doorgift’ yang paling popular. Namun sekarang, bunga telur tidak lagi menjadi pilihan.

Lambakan perniagaan yang menawarkan khidmat ‘doorgift’ untuk majlis perkahwinan menampakkan perubahan trend daripada memberi bunga telur kepada memberi sesuatu yang lebih menarik. Antaranya seperti mug, botol jar, cupcake, coklat, kotak berisi makanan dan macam-macam lagi. Boleh jadi, perbelanjaan untuk cenderamata ini sahaja mampu mencecah ribuan ribu Ringgit.
5. Perkara-perkara lain
Perkara-perkara lain yang dimaksudkan adalah seperti sistem audio, kompang, silat, tepung tawar, pengacara majlis, kad undangan, hiasan majlis, jurumekap, jurunikah, jurukamera perkahwinan, gambar ‘pre-wedding’, gambar ‘post-wedding’, malam berinai dan sebagainya.
6. Sewa tempat dan hidangan makanan
Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin.

Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.
Antara perkara yang perlu ditentukan terlebih dahulu adalah jumlah tetamu jemputan untuk majlis tersebut. Setelah mendapat tahu jumlah tetamu yang akan hadir, adalah penting untuk menyewa tempat yang boleh memuatkan kesemuanya. Jumlah makanan yang dihidangkan juga penting bagi memastikan semua tetamu dapat menjamu selera tanpa ada yang tertinggal.
7. Mahar atau mas kahwin
Mas kahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Mas kahwin ini boleh terdiri daripada emas, duit, besi atau sekadar bacaan sebahagian surah Al Quran.

Mas kahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan mas kahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.
Selepas diteliti tujuh perkara di atas, tidak mustahil lah sesebuah perkahwinan menelan belanja yang sangat tinggi. Tetapi bagaimana pula jika dilihat dari sudut pandang Islam? Adakah ketujuh-tujuh perkara ini diperlukan untuk berkahwin?
Jawapannya TIDAK! Islam hanya mewajibkan perkara ketujuh di atas sahaja iaitu mahar atau mas kahwin.
Mengikut hukum Islam, seorang lelaki yang mahu menikahi seorang perempuan WAJIB memberikan mas kahwin mengikut kadar kemampuannya dalam akad nikah.

Tetapi, mahar yang diberikan tidak perlu terlalu mahal. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

”Sebaik-baik mas kahwin ialah yang lebih rendah“. (Riwayat Abu Daud)

Dan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

”Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya“. (Riwayat Ahmad)

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.