Kiriman pada: Wed, Jul 8th, 2015

Agong tidak ada kuasa untuk pecat Najib

Kongsi maklumat ini
Tags

agosKUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah tidak mempunyai kuasa untuk memecat Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatan perdana menteri kecuali mendapat undi tidak percaya ahli Dewan.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, Agong hanya mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri yang pada pendapat baginda boleh mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

“Saya fikir tidak boleh. Agong hanya mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri yang pada pendapat baginda boleh mendapat sokongan majoriti ahli Dewan, tetapi tidak mempunyai kuasa memecat,” katanya dalam catatan terbaru di laman Facebooknya.
Pada Isnin, bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa berpendapat, sesuatu mesti dilakukan oleh semua pihak dalam negara ini untuk memaksa Najib melepaskan tanggungjawab dan kuasanya, setidak-tidaknya untuk sementara waktu.

Husam juga mencadangkan supaya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Agong bersama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mencadangkan pelucutan jawatan Najib.

Katanya, Najib juga perlu berbuat demikian bagi membolehkan siasatan dan tindakan bebas dapat diambil.

Dalam pada itu kata Dr Mohammad Agus, selain undi tidak percaya, Najib boleh terlucut dari jawatannya sekiranya dia sendiri meletakkan jawatan.

“Ia juga boleh berlaku jika Najib hilang kelayakan sebagai ahli Dewan disebabkan oleh hukuman mahkamah (setahun penjara atau denda RM2000 atau kedua-duanya sekali), gila atau muflis.

“Selain itu, jawatannya terlucut jika Dewan Rakyat dibubarkan,” ujarnya.

Dr Mohammad Agus turut meminta mana-mana ahli politik supaya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan berbentuk sensasi termasuk meminta Agong memecat Najib.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Dr Mohammad Agus mahu ahli politik bertindak cepat kerana krisis ini sudah banyak memberi kesannya pada rakyat dan negara.

“Ekonomi merosot, subsidi rakyat dikurang, kos hidup meningkat, nilai ringgit jatuh dan lainnya.

“Tetapi cara bertindak itu hendaklah dengan langkah yang bijak supaya ada integritinya,” jelasnya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.