Kiriman pada: Sun, Jan 24th, 2016

Ahli Parlimen bertanding dalam PRN11

Kongsi maklumat ini
Tags

ADENAN/MESYUARAT PBBPETRA JAYA: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem tidak menolak kemungkinan ada Ahli Parlimen ‘dibawa pulang’ untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) Sarawak, yang dijangka diadakan selewat-lewatnya April ini. Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, berkata ia susulan pengunduran beberapa pemimpin parti komponen bagi memberi peluang kepada muka baharu bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri kali ini. “Kemungkinan ada (perpindahan Ahli Parlimen ke kawasan DUN) dalam pilihan raya kali ini, khususnya di kawasan tertentu. Namun, kita masih meneliti perkara ini dengan mengambil kira semua faktor berkaitan. “BN Sarawak juga masih belum memuktamadkan senarai pencalonan kita…. ada beberapa perkara perlu kita selesaikan dulu dalam kalangan parti komponen, khususnya Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB),” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg merangkap Timbalan Presiden PBB. Adenan turut mengesahkan sekurang-kurangnya 10 muka baharu bakal diturunkan PBB dalam pilihan raya kali ini berikutan pengunduran beberapa penyandang yang mahu bersara, selain menghadapi masalah kesihatan. “Daripada 40 kerusi diperuntukkan kepada PBB, 10 kerusi akan menampilkan muka baharu, termasuk calon daripada Pemuda dan Wanita. Ada penyandang kerusi ini sudah mengemukakan secara rasmi hasrat mereka mahu bersara,” katanya tanpa menamakan penyandang terbabit. Adenan turut memberi jaminan tidak akan berlaku isu perebutan kerusi oleh parti komponen kerana proses berkenaan akan dilakukan secara teliti bersandarkan kepada konsep keharmonian yang menjadi teras kekuatan BN Sarawak. “Namun, sudah tentu saya akan memberikan keutamaan kepada calon ‘boleh menang’…. tidak kiralah daripada parti komponen mana pun. Justeru, isu perebutan kerusi tidak sepatutnya timbul,” katanya. Adenan turut mengesahkan senarai pencalonan lengkap bagi semua parti komponen BN Sarawak bakal diumumkan beliau pada Mac ini.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.