Kiriman pada: Mon, Jan 25th, 2016

Ahmad Bashah nafi mahu jadi Menteri Besar

Kongsi maklumat ini
Tags

AHMAD BASHAH / TIMBALAN MENTERI KPDNKKALOR SETAR: Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, menafikan tuduhan beliau tergila-gila mahu menjadi Menteri Besar hingga mendorongnya bertindak mengetuai kumpulan 14 ketua bahagian di negeri ini mengumumkan menolak kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, berkata beliau boleh melakukan bermacam helah bagi memastikan Mukhriz gagal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu ketika namanya disingkirkan pada saat akhir daripada menjadi Menteri Besar. Namun, katanya, beliau akur kerana ia adalah kehendak pemimpin dan memberi sokongan kepada Mukhriz, yang diumumkan sebagai Menteri Besar jika Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan dari tangan PAS ketika itu. Beliau juga menafikan berdendam dengan Mukhriz dan sesiapa saja hanya kerana tidak dipilih menjadi Menteri Besar walaupun beliau boleh dikatakan begitu hampir kerana kedudukannya ketika itu. Katanya, mana-mana pihak juga tidak wajar untuk mendabik dada bahawa disebabkan orang tertentu maka Kedah kembali ke tangan BN kerana ia adalah hasil kerja semua pihak sama ada di peringkat bahagian atau negeri. “Saya bukan tergila-gila nak jadi MB (Menteri Besar) saya boleh buat macam-macam kerana waktu itu saya adalah Pengerusi Perhubungan dan juga Pengarah Pilihanraya. “Saya boleh buat macam-macam jika saya dendam pada Mukhriz..bukan sekarang tetapi awal lagi. “Saya buat ini kerana saya nampak arah dan hala tuju parti semakin tersasar kerana banyak masalah berlaku….ada wakil rakyat marah-marah kerana susah nak dapat jumpa Mukhriz dan pelbagai lagi. “Bagi saya, Mukhriz ini orang baik sebab itu saya tidak dendam, malah saya berlapang dada menerima beliau sebagai ketua saya sebelum ini. Cuma dalam hal ini saya boleh katakan ia adalah untuk kepentingan parti, kita perlu pada perubahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini. Ahmad Bashah berkata, buat masa ini, semua pihak perlu memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat pertimbangan dan akur atas apa saja keputusan yang difikirkannya sesuai demi kebaikan parti menjelang PRU ke-14. Beliau juga sedia berhadapan apa saja cabaran, termasuk menghadapi Pilihan Raya Negeri jika itu jalan yang akan diambil nanti, namun yakin ia tidak akan sampai ke tahap itu kerana tidak sesuai dan bukan penyelesaian yang baik. “Saya pernah lalui pelbagai situasi dalam politik dan saya rasa tidak akan berlaku sampai ke tahap itu (pilihan raya). Saya yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri, ia boleh dielakkan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.