Kiriman pada: Sun, Jan 15th, 2017

Aktifkan Kad PIN Baharu

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Pemegang kad debit dan kredit yang sudah menerima kad berasaskan PIN baharu, perlu mengaktifkan kad mereka bagi membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank mengenal pasti serta menyelesaikan isu yang timbul daripada pelaksanaannya.

Pengarah Jabatan Dasar Sistem Pembayaran Bank Negara Malaysia, Tan Nyat Chuan, berkata pemegang kad mempunyai tempoh selama enam bulan untuk menyesuaikan diri dengan menggunakan kad pembayaran berasaskan PIN baharu bermula 1 Januari 2017 hingga 30 Jun 2017.

Penggunaan kad pembayaran berasaskan PIN baharu adalah bagi menggantikan penggunaan kad berasaskan tandatangan.

Ia bertujuan meningkatkan keselamatan penggunaan kad pembayaran di terminal semasa jualan (POS) di cawangan perniagaan.

“Inisiatif semasa perpindahan kepada kad pembayaran berasaskan PIN untuk transaksi di terminal POS adalah bagi meningkatkan keselamatan dan melindungi kepentingan pemegang kad.

“Justeru, kami meminta pemegang kad yang sudah menerima kad berasaskan PIN baharu, menggunakannya bagi setiap transaksi mereka,” katanya kepada media sempena Karnival Kewangan 2017 yang dianjurkan Bank Negara di sini.

Nyat juga menasihatkan, pemegang kad atau pedagang yang berhadapan sebarang isu berkaitan penggunaan kad berasaskan PIN baharu itu supaya memaklumkan kepada bank dan BNM.

Penggunaan kad debit di negara ini juga berkembang pantas berbanding kad kredit, dengan transaksi meningkat daripada 23 juta pada 2011 kepada jangkaan hampir 96 juta pada akhir 2016.

Beliau berkata, pertumbuhan kad debit dalam tempoh 2011-2016 adalah kira-kira 20 peratus, sementara kad kredit meningkat antara dua hingga empat peratus dalam tempoh yang sama.

“Pertumbuhan kukuh itu secara langsung membuktikan terdapat perubahan corak bahawa orang ramai semakin kurang mengeluarkan tunai daripada mesin ATM, sebaliknya menggunakan secara langsung menerusi POS,” katanya.

Mengenai sejauh mana keselamatan menggunakan pembayaran menggunakan paywave, Nyat Chuan berkata, sekiranya berlaku kehilangan kad orang ramai boleh terus menghubungi bank untuk membatalkan sebarang transaksi dengan pantas.

“Jika terdapat transaksi ketika berlaku kehilangan kad, biasanya di premis perniagaan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh merakam pengguna kad berkenaan dan ia memudahkan kita untuk mengenal pasti serta mengambil tindakan.

“Orang ramai juga boleh menetapkan kadar minimum sehingga kosong untuk transaksi menggunakan paywave dengan hanya menghubungi pihak bank,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.