Kiriman pada: Thu, Feb 25th, 2016

Amalkan 3R Elak Pembaziran Belanjawan Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

dhgjKuala Lumpur – Rakyat di negara ini disaran mengamalkan gaya hidup berlandaskan konsep pengurangan, guna semula dan kitar semula (3R) bagi membantu kerajaan mengelak pembaziran belanjawan negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kos RM2 bilion setahun yang diperuntukkan kerajaan bagi mengurus sisa pepejal dijangka meningkat secara mendadak dari setahun ke setahun jika tiada kesedaran dan kerjasama rakyat.

“Peruntukan RM2 bilion sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk bina sekolah, klinik dan memperkasakan sistem pengangkutan bagi kemudahan rakyat. Bagaimanapun saban tahun kami (kerajaan) perlu tambah peruntukan untuk uruskan sisa pepejal berikutan kesedaran rakyat terhadap kepentingan dan manfaat 3R masih di takuk lama.

“Keberkesanan mengurus sisa pepejal bukan sekadar menjimatkan perbelanjaan malah dilihat sebagai pengukur kemajuan sesebuah negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Makmal Pengurusan Sisa Pepejal Negara, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Program sehari itu diadakan bertujuan berkongsi maklumat dan mendapatkan maklum balas daripada orang awam mengenai pengurusan sisa pepejal di negara ini.

Abdul Rahman berkata pengingkatan kos mengurus sisa pepejal itu perlu ditangani secara menyeluruh melalui transformasi gaya hidup rakyat dengan mengamalkan konsep 3R sebagai mencontohi negara maju lain.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) kini berhadapan dengan pelbagai kekangan melibatkan aspek kewangan bagi menguruskan sisa pepejal serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Sehubungan itu, katanya, PBT terpaksa menimbangkan cadangan meningkatkan kadar cukai sekiranya masalah berkenaan terus berlanjutan.

“3R merupakan jalan terbaik untuk rakyat bantu kami uruskan sisa pepejal selain menjimatkan perbelanjaan mereka bagi jangka masa panjang,” katanya.

Abdul Rahman berkata rakyat perlu melihat kepentingan 3R sebagai tanggungjawab bersama dalam mengoptimumkan belanjawan negara ke arah menjana manfaat menyeluruh.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.