Kiriman pada: Sun, Aug 23rd, 2015

Anggota ASEAN Digalak Guna Renminbi Lebih Meluas

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI MUSTAPA MOHAMEDKuala Lumpur – Negara anggota ASEAN digalakkan menggunakan renminbi China secara lebih meluas dalam dagangan dan pelaburan memandangkan negara itu merupakan rakan dagang terbesar rantau ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Di Malaysia, inilah antara strategi kami. Dasar kami adalah untuk mempelbagaikan penggunaan mata wang dan bank pusat memacu proses itu.

“Kami berharap lebih banyak negara anggota ASEAN mengambil langkah yang sama. Langkah ini sesuai memandangkan China merupakan rakan dagang terbesar,” kata Mustapa pada sidang media sempena Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-47 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan.

Mustapa sebelum ini menegaskan bahawa ASEAN akan terus mengukuhkan hubungan dagang dengan China dalam persekitaran ekonomi yang mencabar serta penyusutan renminbi, bagi meminimumkan sebarang potensi impak negatif.

Dalam temu bual dengan BERNAMA, Indonesia turut mencadangkan penggunaan lebih meluas renminbi China dalam perdagangan dan pelaburan ASEAN bagi membendung impak dolar US yang kukuh.

“Kami mahu mendesak agar Renminbi China digunakan secara lebih meluas di rantau ini,” kata Menteri Perdagangan Indonesia yang baru dilantik, Thomas Trikasih Lembong.

Ini disebabkan ekonomi ASEAN lebih bersesuaian dengan China berikutan kedudukannya yang berdekatan dan hubungan dagangan, katanya.

Selain mengutarakan cadangan itu pada mesyuarat berkenaan, Thomas berkata beliau bercadang untuk turut membangkitkan perkara itu kepada kumpulan ekonomi lebih luas dalam Kabinet Indonesia.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata pasaran itu berharap agar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan membuat keputusan berhubung tindakan mereka seterusnya berkaitan kadar faedah.

“Hanya tinggal beberapa minggu saja lagi (keputusan Rizab Persekutuan Amerika). Kita akan dapat melihat pasaran yang lebih tenang selepas itu,” kata Thomas.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.