Kiriman pada: Sun, Aug 9th, 2015

Anggota ASEAN Perlu Berganding Bahu Perkukuh Komuniti ASEAN

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKKuala Lumpur – Negara anggota ASEAN perlu berganding bahu bagi memperkukuhkan Komuniti ASEAN agar ia dapat bertindak sebagai satu suara di persada dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dengan adanya komuniti yang kukuh, mereka dapat mewujudkan perjanjian baharu dengan negara lebih besar dan kumpulan lain, yang akan memberi manfaat kepada perkumpulan serantau itu.

“Lebih padu kita kukuhkan Komuniti ASEAN, lebih banyak yang akan kita raih,” katanya ketika melancarkan sambutan Hari ASEAN ke-48.

Datuk Seri Najib berkata Komuniti ASEAN, yang kini terdiri daripada lebih 600 juta orang, dan tenaga kerja ketiga terbesar di dunia, sedia untuk menjadi peserta utama dunia.

“Berdasarkan satu jangkaan, ASEAN akan terus membentuk pasaran keempat terbesar dunia selepas EU (Kesatuan Eropah), Amerika Syarikat dan China menjelang 2030. Tinggal 15 tahun saja lagi,” katanya.

Datuk Seri Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata dengan meningkatnya perdagangan Intra-ASEAN kepada US$609 bilion tahun lepas, satu peningkatan daripada US$458 bilion pada 2008 selepas Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN dikuatkuasakan, ia akan terus dipertingkatkan lagi dengan penghapusan sekatan selanjutnya.

“Sekiranya kita berjaya meningkatkan paras perdagangan itu daripada 24 peratus kepada 40 peratus, kesan tambahan ke atas ekonomi ASEAN berkemungkinan US$2.5 trilion setahun,” katanya.

Menyentuh tentang Hari ASEAN ke-48, Najib berkata: “ini adalah hari yang istimewa bagi saya, sebab ayahanda saya, Tun Razak, adalah seorang daripada lima bapa pengasas yang menandatangani Deklarasi Bangkok pada 1967 yang membawa kepada pembentukan ASEAN.”

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.