Kiriman pada: Fri, Nov 13th, 2015

Anggota Sedia Hadapi Suasana Sukar

Kongsi maklumat ini
Tags

jdfykKUALA LIPIS – Polis Lipis sudah melakukan persiapan dari segi anggota dan kelengkapan logistik untuk menghadapi kemungkinan banjir di daerah ini yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, berikutan itu beberapa siri latihan dibuat bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kemahiran pegawai serta anggota ketika berdepan situasi sebenar.

“Antara yang difokuskan ialah menyelamat di air, pengendalian bot serta pelbagai latihan pertolongan cemas dan melalui latihan ini ia akan memberi pendedahan kepada kemahiran dan kecekapan anggota yang terlibat.

“Secara tidak langsung, latihan ini akan menilai kemampuan dan ketahanan diri setiap anggota dalam menghadapi suasana yang sukar,” katanya kepada pemberita ketika menyaksikan latihan menyelamat serta pengendalian bot di Kampung Binjai di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, latihan menyelamat tersebut diadakan selama empat hari dengan membabitkan 16 pegawai serta anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis dan dibimbing empat pegawai polis marin dari Kuantan.

Menurutnya, bagi tujuan itu juga sebanyak tujuh bot dilengkapi dengan enjin 50 kuasa kuda serta dua buah treler bot diletakkan dalam keadaan yang boleh guna dan sedia digerakkan pada bila-bila masa.

“Selain memperkemaskan kekuatan anggota, kita turut memberi penekanan aspek peralatan serta kelengkapan menyelamat sentiasa berfungsi dengan baik,” katanya.

Sementara itu Abdul Razak turut menasihatkan orang ramai yang terlibat dengan banjir supaya berpindah dengan segera ke pusat pemindahan.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang meninggalkan kediaman masing-masing kerana polis akan sentiasa melakukan rondaan.

“Kita tidak mahu ada korban nyawa pada musim banjir ini. Kita juga akan sentiasa peka untuk menambah keanggotaan dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan banjir nanti,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.