Kiriman pada: Sun, Mar 1st, 2015

Anggota SPDRM Diminta Jaga Imej Pasukan Polis

Kongsi maklumat ini
Tags

SUPT DR ONG GUA PAKKuala Lumpur – Anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) perlu mempunyai komitmen tinggi dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas bagi menjaga imej pasukan polis walaupun mereka sibuk dengan tugas hakiki masing-masing.

Komandan SPDRM Kuala Lumpur, Supt Dr Ong Gua Pak berkata tugas anggota polis sukarelawan adalah membantu PDRM menjaga keamanan negara malah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh anggota sukarelawan adalah sama dengan tugas anggota PDRM.

“Orang ramai kadang-kadang tidak boleh membezakan antara anggota polis sukeralawan dan PDRM. Oleh itu anggota SPDRM khususnya yang baru dilantik perlu menjaga disiplin ketika menjalankan tugas bagi menjaga imej pasukan PDRM,” katanya selepas menghadiri upacara kawad komandan dan tamat latihan SPDRM siri 1 dan 2 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Ong yang juga Setiausaha Bahagian Kewangan, Pengurusan Kewangan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata orang ramai dialu-alukan menyertai SPDRM bagi membantu pihak polis dalam penguatkuasaan undang-undang selain memastikan keamanan dan keselamatan di kawasan setempat.

Katanya mereka yang berminat untuk menyertai SPDRM boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah berdekatan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pengambilan anggota baharu.

Setakat ini, terdapat seramai 1,140 anggota SPDRM Kuala Lumpur.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.