Kiriman pada: Wed, Feb 1st, 2017

Annuar Belum Fikir Status Ketua Penerangan UMNO

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Tan Sri Annuar Musa belum memikirkan kedudukannya sebagai Ketua Penerangan UMNO berikutan arahan bercuti sementara selaku Pengerusi MARA dan Pelaburan MARA Berhad (PMB), mulai semalam.

“Saya belum bersedia memberi ulasan mengenainya. Saya masih di luar negara,” katanya yang masih berada di New Zealand.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, kedudukan Annuar selaku Ketua Penerangan UMNO akan diputuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, susulan penggantungan jawatan sebagai Pengerusi MARA.

Jawatan dalam parti itu adalah lantikan Najib dan Annuar melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO tanpa masalah.

Mesyuarat tergempar MARA semalam mengarahkan Ahli Parlimen Ketereh itu bercuti sebagai pengerusi agensi berkenaan dan PMB, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan dicapai dalam mesyuarat khas dipengerusikan Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob di ibu pejabat MARA, di sini bagi membolehkan audit dalaman MARA menyiasat beberapa perkara mengenai agensi itu.

Ia termasuk penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan atau The Red Warriors (TRW).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.