Kiriman pada: Thu, Feb 2nd, 2017

Annuar Janji Hadir Pejabat SPRM Pagi Ini

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Tan Sri Annuar Musa mengesahkan beliau akan hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini bagi memberi kerjasama dalam siasatan berkaitan tajaan pasukan bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB).

Annuar yang diarahkan bercuti serta merta daripada jawatan Pengerusi MARA dan PMB mulai Selasa lalu oleh Majlis MARA ketika sedang berada di New Zealand atas urusan rasmi agensi itu berkata, beliau akan berusaha untuk tiba di pejabat SPRM sebelum ia dibuka.

“Insya-Allah esok (hari ini) saya pulang ke tanah air, perkara pertama ingin saya lakukan ialah untuk awal-awal pagi saya ke SPRM untuk diri saya di siasat.

Saya berwajib memberikan kerjasama dan saya harus menghormati tugas mereka.

“Penerbangan lebih 10 jam pasti meletihkan, tapi gembira untuk pulang menemui anak cucu, rakan media dan lain-lain yang kini sedikit terbatas kerana jarak yang jauh.

“Apa pun sebelum pejabat SPRM dibuka saya harap dapat berada di sana supaya ada masa yang panjang dan cukup untuk mereka menjalankan tugas mereka insya-Allah,” katanya.

Kenyataan Annuar itu terpapar pada akaun Facebooknya pada jam 10.28 malam tadi dan dipercayai ditulis sebelum menaiki pesawat penerbangan untuk pulang ke tanah air dari New Zealand.

Ahli Parlimen Ketereh yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukannya sebagai Ketua Penerangan parti.

“Saya ucapkan terima kasih atas kenyataan YAB Presiden dan Setiausaha Agung UMNO mengenai kedudukan saya sebagai Ketua Penerangan UMNO.

“Saya ada pandangan sendiri mengenainya dan Insya-Allah akan cuba bertemu Presiden Umno kemudian.

Buat masa ini SPRM ‘first’, Insya-Allah,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.