Kiriman pada: Mon, Nov 21st, 2016

APEC Berpegang Teras Penubuhan, Tentang Anti-globalisasi

Kongsi maklumat ini
Tags

apecLima (Peru) – Pemimpin negara Lingkaran Pasifik termasuk Malaysia, sepakat agar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) kekal berpegang kepada tujuan dan nilai teras penubuhannya, dan menentang kecenderungan anti-perdagangan bebas dan anti-globalisasi yang kini semakin lantang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemimpin APEC yang bertemu di ibu negara Peru untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC, bersetuju badan itu mengukuhkan pendirian nilai teras penubuhannya iaitu memperjuangkan keterbukaan, kerjasama dan liberalisasi.

Beliau berkata sidang APEC itu mengambil kira suasana dalam kebanyakan negara, terutama di negara maju, dengan suara kini cenderung menentang globalisasi dan perdagangan bebas semakin kencang.

“APEC berpendapat bahawa APEC perlu memerangi unsur-unsur tersebut dan bukannya menyerah kepada kuasa anti-globalisasi atau anti-perdagangan bebas,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC yang berakhir pada Ahad.

Najib berkata perdagangan bebas merupakan antara prinsip penting, yang boleh menjana kekayaan dan membawa kepada penambahan pekerjaan yang akan menguntungkan rakyat.

“Mesej ini penting untuk diterapkan, bahawa APEC bukan kerana dasarnya tetapi penghujungnya, yang merupakan usaha untuk memberi faedah kepada rakyat,” katanya.

Ditubuhkan pada 1989, APEC ialah forum ekonomi, perdagangan dan pelaburan dalam kalangan 21 negara Lingkaran Pasifik.

Ia terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Najib berkata selain menghantar mesej jelas tentang pendirian nilai teras APEC, dasar domestik negara anggota juga perlu diubah suai supaya tidak terdapat pihak yang terjejas atau terpinggir akibat proses globalisasi.

Melalui pengubahsuaian dasar domestik, pihak yang terjejas berpeluang, umpamanya untuk meningkatkan kemahiran dan mendapat kemudahan kredit mikro untuk pembangunan industri kecil dan sederhana, katanya.

Najib berkata dalam situasi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia yang perlahan, bidangyang boleh membantu pertumbuhan ekonomi perlu dikenal pasti termasuk ekonomi digital kemudahan perhubungan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.