Kiriman pada: Wed, Feb 15th, 2017

APMM Tubuh Unit Komunikasi Dan Pemantauan Siber

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuantan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menubuhkan Unit Komunikasi dan Pemantauan Siber bagi menjawab segala fitnah dan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap agensi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, unit yang ditubuhkan awal tahun ini berperanan menjawab tohmahan yang berpotensi mencalar imej dan kredibiliti APMM di mata masyarakat.

“Kita sedar bahawa dalam era teknologi siber sekarang ini, bermacam-macam kenyataan tidak masuk akal dibuat pelbagai pihak yang berniat menjatuhkan imej atau mewujudkan persepsi negatif terhadap APMM.

“Saya sudah minta mereka (APMM) wujudkan unit ini… dan saya difahamkan ia sudah beroperasi sejak awal tahun ini.

“Unit ini bertanggungjawab untuk memberi reaksi balas terhadap setiap aduan, fitnah atau kenyataan yang memburukkan nama APMM dalam tempoh kurang dua jam bagi memastikan pengguna media sosial memperoleh maklumat yang betul daripada sumber yang sahih,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Ulang Tahun APMM ke-12 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut mengenai unit itu, Shahidan berkata, unit terbabit memberi fokus kepada penyebaran maklumat di Facebook, Twitter dan medium lain di internet.

Katanya, sebarang salah laku dikesan unit berkenaan akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita kena terima hakikat bahawa perkembangan teknologi hari ini sangat pantas, jadi APMM juga kena ambil inisiatif bagi memastikan peranan dijalankan tidak diganggu oleh tindakan kurang bertanggungjawab pihak tertentu yang suka melemparkan fitnah atau tuduhan tidak betul.

“Apatah lagi jika ia (tuduhan) membabitkan soal keselamatan dan kedaulatan negara… sudah pasti kita tidak akan berdiam diri,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.