Kiriman pada: Tue, Feb 16th, 2016

Arab Saudi, Russia runding kejatuhan harga minyak

Kongsi maklumat ini
Tags

A fuel dispenser of Venezuela's state oil company PDVSA is pictured at its gas station in CaracasLONDON: Dua pengeksport minyak terbesar dunia, Arab Saudi dan Russia akan mengadakan rundingan hari ini dalam usaha menangani lambakan bekalan yang menyebabkan harga minyak turun ke paras terendah dalam tempoh sedekad, kata sumber kepada Reuters. Menteri Minyak Arab Saudi, Ali al-Naimi dan rakan sejawat dari Russia, Alexander Novak akan bertemu di Doha. Mereka akan disertai menteri dari anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Qatar dan Venezuela. Pertemuan itu membangkitkan semula memori pada 2001 apabila OPEC dan pengeluar bukan OPEC bertemu untuk mencapai persetujuan mengurangkan output. Pada pertemuan lebih 10 tahun lalu itu, Russia bersetuju menyertai usaha berkenaan buat kali pertama dan kali terakhir.

Bagaimanapun, Moscow selepas itu tidak benar-benar meneruskan ikrarnya untuk mengawal eksport. Harga minyak meningkat dua peratus selepas berita itu dikeluarkan semalam, dalam dagangan lengang disebabkan cuti umum Amerika Syarikat (AS). Harga minyak jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih sedekad sejak setahun lalu disebabkan pertambahan bekalan AS dan keputusan OPEC untuk meningkatkan eksport bagi mempertahankan penguasaan pasaran. Arab Saudi berkata, ia hanya akan mengurangkan output hanya jika pengeluar bukan OPEC bersetuju menyertainya. Pengeluar terbesar dunia, Russia sekian lama enggan bekerjasama apabila berkata industrinya berdaya saing dalam sebarang harga dan secara teknikalnya sukar bagi Moscow untuk mengurangkan pengeluaran. Nadanya berubah bulan lalu apabila harga minyak jatuh di bawah AS$30 satu tong, paras yang menyebabkan Russia terpaksa menyeimbangkan bajetnya sebelum pemilihan parlimen akhir tahun ini. Kewangan awam di Arab Saudi dan negara Teluk lain juga terjejas teruk. Sumber industri minggu lalu memberitahu Reuters, ada sebahagian negara OPEC cuba mencapai persetujuan untuk membekukan pengeluaran dalam usaha menangani lambakan pengeluaran.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.