Kiriman pada: Thu, Aug 20th, 2015

Arwah Sering Beri Nasihat Agama Kepada Cucu

Kongsi maklumat ini
Tags

Karim LatiffKuala Lumpur – Pelakon veteran Abdul Karim Abdul Latiff yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru semalam, amat rapat dengan kesemua 16 cucunya dan sering memberi nasihat keagamaan kepada mereka.

Menurut menantu Allahyarham, Norzawati Zainal, 41, di sebalik ketegasannya, Allahyarham seorang yang begitu menitikberatkan soal hubungan kekeluargaan.

“Allahyarham pasti dirindui cucu-cucunya,” katanya kepada Bernama.

Seniman yang lebih dikenali dengan panggilan Karim Latiff, 78, itu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 11.30 pagi semalam.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Batu Muda, Gombak pada pukul 6 petang tadi.

Mengulas lanjut, Norzawati berkata Allahyarham gemar membuat lawak dan menggunakan bahasa baku seperti dalam filem klasik lakonannya bersama Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Dalam pada itu, isteri Allahyarham, Che Asma Hussain, 71, berkata suaminya meninggal dunia ketika beliau dan anak keempat mereka, Izhar, berada di sisinya.

Katanya, ketiadaan Allahyarham disedari selepas bunyi nafasnya terhenti ketika sedang tidur.

“Nafasnya selalu berbunyi kerana kahak yang terkumpul pada tekak, tetapi ia terhenti secara tiba-tiba membuatkan saya dan anak terkejut namun sebelum itu sempat mengajarnya untuk mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.

Allahyarham turut menghidap penyakit diabetes sejak 33 tahun lalu.

Allahyarham yang seangkatan P. Ramlee, popular menerusi lakonannya dalam filem seperti Ahmad Albab, Anak Bapak, Masam-masam Manis dan Keluarga 69.

Berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, Allahyarham meninggalkan isteri dan lima anak iaitu Izuddin Nizam, Izmir, Nur Iznita, Izhar dan Izralfiddin serta 16 cucu.

Alfatihah.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.