Kiriman pada: Mon, Mar 16th, 2015

ASEAN Boleh Menjadi Kuasa Utama Ekonomi Di Rantau Asia

Kongsi maklumat ini
Tags

sme_corpKuala Lumpur – Dengan jumlah penduduk lebih 600 juta orang dan sumber galian serta komoditi yang melimpah ruah, ASEAN boleh menjadi kuasa utama ekonomi seterusnya di rantau Asia, kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim.

Beliau berkata ketika peralihan ekonomi kini bergerak dari Barat Ke Timur, ASEAN akan dilihat sebagai satu daripada kuasa utama ekonomi selepas China, menyediakan peluang perniagaan yang baik kepada komuniti perniagaan.

“ASEAN sebagai sebuah rantau mempunyai banyak potensi. Kita ada sawit, getah dan galian dan di samping itu setiap negara mempunyai budaya yang hampir sama yang akan menjadikan perniagaan lebih mudah,” katanya kepada Bernama semasa temu bual bersempena dengan Pameran dan Persidangan PKS ASEAN 2015 yang bakal berlangsung pada 26-28 Mei depan.

Justeru itu, Hafsah berkata sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, Malaysia bertanggungjawab memastikan orang ramai memahami tentang kepentingan ASEAN dan bagaimana mereka boleh memainkan peranan mereka untuk menjadikan rantau ini sebagai pusat perdagangan dan pelaburan seterusnya.

Ini penting, terutamanya dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang dijadual bermula akhir tahun ini, katanya.

AEC ialah program liberalisasi ekonomi yang bertujuan meningkatkan daya saing antarabangsa ASEAN bagi menjadikan rantau ini sebagai lokasi pelaburan menarik.

Antara sasaran AEC termasuklah aliran bebas barangan, perkhidmatan, pelaburan dan modal dan juga menggalakkan pembangunan ekonomi saksama dalam perusahaan kecil dan sederhana dalam kalangan anggota ASEAN.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.