Kiriman pada: Wed, Nov 11th, 2015

ASEAN, Eropah perlu sertai inisiatif Laluan Sutera Baharu China

Kongsi maklumat ini
Tags

Sultan-Nazrin-Muizzuddin-Shah1KUALA LUMPUR: ASEAN dan Eropah perlu mengambil bahagian dalam inisiatif Laluan Sutera Baharu China meskipun terdapat beberapa cabaran dan masalah, titah Sultan Perak.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah negara-negara kedua-dua rantau boleh bertindak secara individu atau melalui ASEAN dan Kesatuan Eropah bagi memastikan penyertaan berkenaan memberi faedah bersama dan tidak berisiko dibanjiri oleh syarikat besar milik negara dari China.

“Para pemimpin China dan kerajaan mereka telah berkali-kali menegaskan bahawa projek Laluan Sutera Baharu akan menjadi hasil perundingan bersama untuk faedah bersama dan menyelaras dengan rancangan pembangunan negara dan serantau,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam ucapan bertajuk ‘Laluan Sutera Baharu: Mencipta Semula Sejarah’ pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (WCES) Ketujuh di London.

Teks titah ucapan baginda dikeluarkan di sini.

Baginda bertitah inisiatif Laluan Sutera Baharu boleh memulihkan defisit infrastruktur Asia Tenggara yang besar dan memudahkan pembinaan Komuniti Ekonomi ASEAN yang kukuh.

Baginda bertitah Beijing telah berjanji untuk menyumbang kepada Pelan Induk bagi Kesalinghubungan ASEAN yang telah diterima pakai pada 2010, manakala pada 2014, negara itu berjanji untuk menyediakan US$20 bilion dalam pinjaman untuk pembangunan infrastruktur serantau di samping US$3 bilion untuk Tabung Kerjasama China-ASEAN.

China juga telah menyediakan kemudahan pinjaman US$20 bilion untuk membantu merangsang pembangunan infrastruktur dan ekonomi Indonesia.

Sultan Nazrin bertitah sokongan Malaysia terhadap Laluan Sutera Maritim terdapat dalam Kenyataan Bersama Malaysia-China yang ditandatangani sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun lepas.

Baginda bertitah China juga terlibat dalam pembangunan pelabuhan Kuantan dan dalam pembangunan bersama Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China oleh konsortium dari kedua-dua negara.

“Beta berpendapat ASEAN tidak akan membenarkan perselisihan berhubung pengurusan pertikaian di Laut China Selatan menjadi perkara yang mengelak kerjasama dalam projek-projek Laluan Sutera Baharu.

“Eropah seperti ASEAN telah memberi respons yang membina kepada idea Laluan Sutera Baharu ini walaupun peluang dan cabaran berbeza antara negara-negara,” titah Sultan Nazrin.

Greece yang kini berdepan dengan kesukaran ekonomi misalnya boleh melihat manfaat lebih dari Belanda yang pelabuhan Rotterdam sudah berkembang maju manakala Eropah Timur mungkin lebih memerlukan pelaburan dalam infrastruktur berbanding separuh negara maju Barat yang lain, tetapi peluang pelaburan terbuka kepada semua.

“Ekonomi Kesatuan Eropah tidak berada dalam keadaan yang terbaik dan memerlukan lebih banyak dana pelaburan dan peluang pelaburan dalam bidang infrastruktur pertumbuhan baru yang terletak di sepanjang jalan darat jajaran Sutera itu.
“Seperti yang dianggarkan oleh Bank Pembangunan Asia, Asia yang berkembang pesat memerlukan pelaburan infrastruktur sehingga US$8.22 trilion pada dekad ini,” titah Sultan Perak.

Baginda bertitah China perlu dapat menguruskan pertikaian wilayah dengan negara jiran dengan bijak untuk kepentingan bersama.

“Beta yakin kita akan dapat melihat Asia dengan harapan baharu di mana seluruh dunia boleh mengambil bahagian dan berkongsi,” titah baginda lagi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.