Kiriman pada: Mon, Aug 3rd, 2015

Asean Perlu Kaji Semula Objektif ARF

Kongsi maklumat ini
Tags

zgdjfxgKUALA LUMPUR – Pemimpin Asean perlu meneliti semula objektif Forum Serantau Asean (ARF) untuk menjadikan ia lebih proaktif dalam menangani cabaran keselamatan baharu, demikian menurut seorang penganalisis.

Bekas Ketua Institut Pengajian Asean dan Hal Ehwal Global Universiti Teknologi Mara, Datuk Dr Mohd Yusof Ahmad berkata, selepas 22 tahun memberi penekanan terhadap inisiatif membina keyakinan, sudah tiba masanya untuk forum berkenaan bergerak ke peringkat seterusnya bagi melaksanakan pembangunan diplomasi pencegahan.

Pada masa sama, ARF perlu meminta pesertanya untuk memenuhi janji dan melaksanakan tugas dalam menangani masalah itu, katanya kepada Bernama di sini, menjelang mesyuarat ARF ke-22 pada Khamis.

Beliau menjelaskan bahawa keperluan itu selaras dengan kemunculan cabaran baharu yang ditimbulkan ekoran ancaman keselamatan bukan tradisional seperti jenayah rentas sempadan, keganasan dan bencana yang memerlukan tindakan segera serta kerjasama daripada kerajaan pelbagai sektoral.

“Cabaran baharu yang muncul menambah kerumitan kepada senario. Oleh itu, ARF boleh berperanan lebih daripada sekadar menjadi ruang menggalakkan perbincangan pelbagai hala.

“Ia bukan sekadar ruang bagi pemimpin untuk mengetengahkan idea-idea baharu yang berdaya maju dan cadangan yang konkrit tetapi juga merupakan platform untuk menterjemahkannya kepada tindakan yang berkesan,” katanya.

Katanya, peranan China di rantau ini boleh mempengaruhi permainan kuasa di mana negara-negara anggota Asean perlu mengekori dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan keamanan, kestabilan dan pembangunan di seluruh rantau ini.

“Dari satu segi, kita berhadapan dengan isu-isu sedia ada seperti pertikaian di Laut China Selatan dan berusaha untuk menyelesaikannya secara baik.

“Sebaliknya, krisis baharu dan lebih kompleks muncul yang memerlukan pendekatan baharu,” kata bekas duta Malaysia ke Bangladesh itu.

ARF telah ditubuhkan pada 1994 sebagai venue pelbagai hala untuk memupuk dialog membina dan perundingan mengenai isu-isu politik dan keselamatan kepentingan bersama.

Yusof berkata, ARF menerusi pendekatan diplomasi dan perbincangan dalam mengendalikan konflik, penting ke arah kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang berkekalan di rantau ini.

“Ia menggalakkan dialog terbuka dan perbahasan dalam kalangan peserta, walaupun dengan pihak lawan, demi untuk memelihara pemupukan keamanan melalui diplomasi berbanding menggunakan kekerasan.

“Hakikat bahawa negara-negara yang berbeza pendapat dapat duduk bersama-sama dalam forum dan pada masa yang lebih banyak negara menunjukkan berminat untuk menyertainya, membuktikan kerelevanannya,” katanya.

Selain 10 negara anggota Asean, ARF terdiri daripada 17 negara termasuk 10 rakan dialog iaitu Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Peserta lain ialah Bangladesh, Mongolia, Pakistan, Papua New Guinea, Korea Utara, Sri Lanka dan Timor Leste.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.