Kiriman pada: Sat, Aug 22nd, 2015

ASEAN Tidak Boleh Tangani Masalah Era Digital Menggunakan Minda Analog

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI MUSTAPA MOHAMEDKuala Lumpur – ASEAN tidak boleh menangani masalah era digital menggunakan minda analog, terutama dalam ekonomi yang kini berubah pantas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Kita menyedari sepenuhnya bahawa persekitaran ekonomi sudah berubah. Anjakan tektonik ini berlaku dalam ruang masa yang lebih pantas daripada biasa. Pendeknya, kita perlu ubah minda,” katanya pada perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-47 dan beberapa mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Mustapa berkata senario semasa kini berbeza berbanding persekitaran ekonomi dan politik beberapa bulan yang lepas.

Anggota ASEAN kini mesti menyegerakan penggunaan teknologi maklumat (IT) bagi melancarkan perdagangan dan pelaburan sesama anggota ASEAN serta menyediakan platform berasaskan elektronik untuk sektor swasta menjalankan perniagaan di rantau ini, termasuk menangani aduan perdagangan.

“Satu lagi cabaran digital yang kita hadapi ialah dalam mengurus persepsi dan realiti, dengan isu-isu kompleks sering dibahaskan dalam Twitter dalam 140 aksara atau kurang.

“Hari dan era kini, persepsi sering menenggelamkan realiti. Inilah cabaran yang ASEAN perlu tangani secara lebih berkesan,” katanya.

Mustapa berkata pada masa ini beberapa ekonomi di ASEAN terjejas akibat penurunan pengeluaran hasil pertanian, pengurangan eksport, turun naik mata wang serta peningkatan inflasi dan pertumbuhan yang perlahan.

Meskipun berhadapan dengan cabaran-cabaran ini, Mustapa berkata negara anggota ASEAN komited sepenuhnya untuk meneruskan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

“Situasi ekonomi dan politik dunia berubah dalam masa yang singat sejak beberapa bulan lepas semasa kita merancang pelancarannya (AEC). Namun seperti parafrasa Dickens, kini kita hidup ‘pada masa terbaik, dan juga masa terburuk,” katanya.

Dalam menangani kehendak pelabur antarabangsa ASEAN, beliau mengingatkan AEC supaya memberi penekanan yang sama ke arah memakmurkan rakyat mereka sendiri.

Akhirnya kelak, penyepaduan ekonomi hanya menjadi lebih bermakna jika ia menjurus kepada pertumbuhan yang saksama dan terangkum yang menyediakan peluang bermakna untuk generasi muda ASEAN.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.