Kiriman pada: Sat, Nov 14th, 2015

Aset TRX bernilai RM5b kekal milik 1MDB

Kongsi maklumat ini
Tags

trKUALA LUMPUR: Aset Tun Razak Exchange (TRX) bernilai lebih RM5 bilion akan kekal sepenuhnya milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) biarpun syarikat pelaburan strategik kerajaan itu perlu melalui pelan rasionalisasi. Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda, berkata sementara di Bandar Malaysia pula, 40 peratus asetnya akan dimiliki 1MDB, hanya 60 peratus saja aset akan dijual kepada pelabur. “Aset yang masih kami miliki, baki 40 peratus di Bandar Malaysia. TRX pula masih kepunyaan kami 100 peratus walaupun sudah menjual sebahagian tanah, dengan baki tanah yang ada juga masih bernilai RM5-RM6 bilion.

“Jadi, secara keseluruhannya, termasuk (aset) di Ayer Hitam dan Pulau Indah, 1MDB masih memiliki aset sekitar RM10 hingga RM12 bilion ringgit,” katanya ketika menjadi panel pada Majlis Penerangan Perdana anjuran Biro Penerangan UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. Kira-kira 1,000 hadirin hadir pada majlis penerangan itu yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzalah serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan. Menjawab soalan hadirin, Arul berkata, sebanyak 5,000 rumah mampu milik bakal dibina di Bandar Malaysia, dengan manfaat pemilikan turut mengambil kira kelompok Bumiputera. Beliau berkata, cadangan pembangunan itu adalah seperti yang tertakluk di bawah Pelan Induk Pembangunan Bandar Malaysia dan ia sudah mendapat kelulusan kerajaan dan pihak berkuasa. Katanya, 1MDB memberi jaminan setiap pelabur yang masuk kelak perlu mematuhi syarat pembinaan rumah mampu milik itu. Dalam pada itu, Arul menjelaskan, projek pembangunan di kawasan Bandar Malaysia seluas 486 ekar itu, dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun untuk disiapkan. Ditanya mengapa 1MDB hanya tahu menjual aset dan tidak memfokus kepada membina keuntungan, Arul berkata, proses mengurangkan hutang melalui penjualan aset memang sebahagian daripada model perniagaan syarikat itu. Namun beliau akui ketika ini ia menghadapi cabaran dan kekangan berikutan penjualannya yang tidak mengikut jadual asal berikutan kehendak pelan rasionalisasi. Sementara itu, Arul turut memberi jaminan hutang 1MDB akan dapat dikurangkan secara mendadak hujung tahun ini, selaras pelan rasionalisasi yang dikemuka kepada Kabinet Mei lalu.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.