Kiriman pada: Mon, Jan 30th, 2017

Atlet Muay Thai Kita Mula Cipta Nama Di Thailand

Kongsi maklumat ini
Tags

Bangkok – Di Thailand, sukan mempertahankan diri ‘Muay Thai’ bukan sahaja amat popular dalam kalangan rakyatnya, tetapi turut menjanjikan kemewahan dan populariti kepada mereka yang berjaya dalam sukan itu.

Sejak dua tahun lalu, menerusi syarikat pengurusan Hallo Fight Lab, beberapa atlet Muay Thai negara mula mencipta nama dalam saingan profesional sukan berkenaan yang amat sengit di negara kelahiran sukan mempertahankan diri itu.

“Dengan latihan dan pengurusan yang betul, atlet-atlet Muay Thai negara mula mencipta nama dalam saingan profesional sukan itu di Thailand.

“Mereka juga mendapat perhatian daripada promoter utama sukan itu,” kata pemilik syarikat pengurusan tersebut, Mohd Hazrul Mohd Sapri, baru-baru ini.

Menurutnya, kemampuan atlet Muay Thai kendalian syarikatnya mendapat pengiktirafan daripada promoter di Thailand, yang kini berlumba-lumba untuk menganjurkan pertarungan membabitkan atlet Malaysia.

Mohd Hazrul berkata bukan sahaja promoter terbabit menganjurkan pertandingan membabitkan atlet Muay Thai Malaysia di bawah pengurusan Hallo Fight Lab, malah turut menyediakan kemudahan latihan yang lengkap dan bersistematik.

Mohd Hazrul berkata, baru-baru ini atlet kendaliannya menyertai pertandingan dinamakan ‘PPTV Muay Thai Fight Night’ yang dianjurkan antara promoter utama sukan itu di Thailand, ‘One’ Songchai.

Pertandingan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen PPTV dan ditonton kira-kira 30 juta peminat di negara itu meningkatkan lagi nama atlet kendaliannya. Pada Februari ini, katanya atlet Muay Thai kendaliannya akan menyertai pertandingan ‘Ambassador Fight Night’ di bawah satu lagi promoter utama sukan itu di Thailand.

“Bermula dari 3,000 Baht (kira-kira RM380) bagi satu perlawanan, kini atlet-atlet kendalian saya menerima kira-kira 30,000 Baht (RM3,800) bagi satu perlawanan dan jika prestasi baik, nilainya akan naik,” kata Mohd Hazrul.

Disebabkan pengiktirafan promoter Muay Thai di Thailand terhadap kemampuan atlet negara, kalendar perlawanan bakal disertai mereka setiap bulan sudah penuh dengan pelbagai undangan, kata Mohd Hazrul.

Mohd Hazrul Mohd Sapri

“Di Thailand, atlet Muay Thai luar yang berjaya dan terkenal seperti Antoine Pinto dan Rafi Bohic, menerima bayaran lumayan bagi setiap pertarungan mereka, selain diberikan layanan lain,” katanya.

Beliau diberitahu, kedua-dua atlet Muay Thai berasal dari Perancis itu menerima bayaran minimum sehingga 600,000 Baht (kira-kira RM77,100) bagi setiap perlawanan mereka.

“Jika atlet Muay Thai mencapai taraf bintang seperti ‘Buakaw’, maka bayarannya berlipat-ganda sehingga jutaan Baht bagi satu perlawanan, selain memenuhi undangan perlawanan dari seluruh dunia,” kata Mohd Hazrul.

Seorang atlet Muay Thai di bawah kendaliannya, Azman Che Wil, 21, dari Manek Urai, Kelantan berkata, menjadi impiannya untuk beraksi dalam saingan profesional di Thailand.

Mohd Azizi Shamsuddin, 17, yang turut bernaung di bawah Hallo Fight Lab berkata, keluarganya di Kelantan merestui pengorbanannya yang menyaksikan beliau menghabiskan sebahagian besar daripada kariernya di negara Gajah Putih itu.

Kedua-dua mereka kini dilatih promoter negara itu, membabitkan dua sesi latihan dalam sehari bermula dari 6 hingga 11 pagi dan 3 petang hingga 8 malam.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.