Kiriman pada: Tue, Feb 21st, 2017

Aura Adenan Sukar Disekat Pembangkang

Kongsi maklumat ini
Tags

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu – Seharusnya kejayaan meraih majoriti lebih besar menyebabkan calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, Puan Sri Jamilah Anu gembira.

Namun, jauh di sudut hatinya, dan tangisan yang mengiringi kemenangan itu adalah detik duka dan gembira kepadanya.

Kemenangan balu Ketua Menteri Sarawak Kelima, Tan Sri Adenan Satem itu menjebakkan dirinya dalam situasi dan perasaan ambivalen.

Ketika beliau dengan Adenan sepatutnya meraikan ulang tahun perkahwinan ke-35 dan 27 Januari sepatutnya ulang tahun ke-73 suaminya, namun Adenan menemui Ilahi pada 11 Januari lalu.

Jamilah dipilih BN dalam keadaan masih amat berduka sebagai calon pilihan raya kecil kelmarin.

Kita dapat membayangkan bagaimana gelora dan bauran perasaan yang dialami Jamilah ketika menerima berita kemenangan menumpaskan dua calon pembangkang daripada Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu (PBDSB) dan Parti Reformasi Negeri (STAR).

Bayangan Allahyarham suaminya tentu bermain di kepalanya. Ingatan terhadap Adenan tentu menusuk emosinya. Namun, terbukti pemilihan Jamilah adalah tepat dan majoriti mengukuh dengan mencecah 96.5 peratus, sekali gus membuktikan beliau diterima baik oleh 9,959 pengundi di Tanjong Datu.

Bagi 36,000 penduduk di Lundu, Jamilah adalah calon dan wakil terbaik untuk memastikan kesinambungan legasi dan perjuangan Adenan. Fahami isu penduduk Jamilah, 62, berada di belakang Adenan dan secara tidak langsung memahami sepak terajang politik sejak 37 tahun lalu.

Beliau semakin memahami isu, masalah dan aspirasi penduduk di Tanjong Datu sejak Adenan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan terbabit pada 2006 dan beliau terdedah kepada politik Sarawak apabila suaminya yang memang mesra rakyat itu, dilantik menjadi Ketua Menteri pada 2014.

Jamilah menyedari betapa besarnya cabaran mengisi kasut besar yang ditinggalkan Adenan, tetapi dengan komitmen padu dan perwatakannya mudah didekati dan mendekati rakyat, diyakini beliau dapat memikul tanggungjawab dan amanah besar yang diletakkan di atas bahunya. Pemergian Adenan begitu dirasai oleh pengundi.

Maka, dalam pilihan raya yang diadakan susulan kematian penyandang, lazimnya sentimen simpati amat memainkan peranan.

Justeru, apabila Azizul, 26, anak Adenan turun ke akar umbi dalam tempoh kempen selama 13 hari, mewakili ibunya yang tidak boleh keluar kerana menjalani tempoh edah, kehadirannya begitu menyentuh hati ramai penduduk.

Sentimen dan aura Adenan dimanfaatkan dengan berkesan oleh BN dari segi komunikasi dan pemasaran politik.

Ketika parti pembangkang langsung tidak memasang poster dan papan iklan, BN menampilkan imej, gambar dan kata-kata menyentuh hati, mengingatkan mereka mengenai wakil rakyat mereka yang telah pergi.

Inilah antara faktor utama mengapa pengundi memberi undi kepada balu Adenan kerana mereka mengingati jasa beliau, dan mahu balunya meneruskan perjuangan itu.

Kerjasama erat dan berkesan dalam kalangan parti komponen BN juga banyak membantu pencapaian cemerlang kali ini, apatah lagi kehadiran pemimpin utama negara seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyentuh hati rakyat dengan pendekatan sentuhan kerakyatan yang ampuh.

Manifestasi daripada kemenangan itu adalah, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diteruskan dan diperkukuhkan demi kepentingan rakyat.

Hakikat bahawa Tanjong Datu adalah kubu kuat BN tidak dapat dipertikaikan dan kehilangan wang pertaruhan kedua-dua calon pembangkang membuktikan hakikat itu.

Untuk sekian lama, pembangkang sukar menembusi kawasan ini dan sentiasa mengutip jumlah undi yang amat mengecewakan.

Meskipun cuba memanipulasikan beberapa isu tempatan termasuk, tanah adat Bumiputera (NCR), percubaan mereka gagal.

Isu nasional juga tidak mendapat tempat di hati pengundi dan ini adalah gambaran yang bakal berlaku bagi kerusi luar bandar Sarawak pada pilihan raya umum nanti.

Kawasan majoriti Bidayuh dan Melayu ini membuktikan bahawa satu daripada faktor yang dipertimbangkan ketika membuat perhitungan adalah siapa yang dapat membawa pembangunan dan mampu mengubah nasib dan masa depan mereka.

Rancang 800 projek Pengundi luar bandar lebih mengutamakan soal survival dan kos sara hidup daripada isu abstrak dan isu nasional yang dianggap kurang relevan.

Sejak Adenan menjadi wakil rakyat di situ, beliau merancang dan melaksanakan lebih 800 projek bernilai RM1 bilion.

Agenda yang terhenti di separuh jalan itu bakal diteruskan Jamilah, termasuk pelaksanaan pelan induk ekopelancongan yang bakal mengubah landskap kawasan itu.

Tentu menjadi cabaran kepada Jamilah untuk mencetuskan idea segar dan melaksanakan projek yang dapat mengurangkan kadar kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan sektor ekonomi di kawasan itu.

Segala potensi di kawasan terbabit perlu diterokai, dengan kajian menyeluruh membabitkan pakar dalam pelbagai bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan penduduk dan pengundi yang meletakkan harapan tinggi kepada beliau.

Calon pembangkang yang dipertikaikan kewibawaan mereka, dengan membawa isu tidak relevan, malah bersifat perkauman, menyebabkan mereka melakarkan prestasi lebih buruk daripada calon PKR dalam pilihan raya negeri lalu, yang meraih 468 undi.

Kehadiran mereka hanya menjelang pilihan raya kecil di kawasan itu, memburukkan keadaan, membayangkan parti pembangkang terbabit bertanding tanpa persiapan rapi.

Kemenangan ini adalah satu permulaan baik kepada Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Openg, kerana ia turut memberi gambaran sokongan penduduk di kawasan terbabit terhadap kepemimpinan beliau.

Oleh Dr Jeniri Amir
Penganalisis politik dan pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.