Kiriman pada: Tue, Feb 14th, 2017

Awas Sebelum “Retweet, Forward, Share”

Kongsi maklumat ini
Tags

Pertemuan Ikatan Setiakawan Wartawan Indonesia-Malaysia (ISWAMI) sempena Hari Pers (Press) Indonesia Ke-71 yang dirasmikan Presiden Joko Widodo di Ambon baru-baru ini, wajar merintis kerjasama memerangi ancaman berita palsu.

Sejak penubuhan ISWAMI pada 2008, ia berjaya mewujudkan persefahaman antara pengamal media kedua negara untuk menenangkan keadaan terhadap sebarang isu panas atau provokasi .

Kini insiden Kedutaan Malaysia di Jakarta diserbu penunjuk perasaan setiap kali timbul isu di antara kedua-dua negara tidak kedengaran lagi.

“Cabaran paling besar yang kita hadapi sekarang ini adalah penyebaran berita palsu yang berleluasa,” kata Ketua Umum ISWAMI Indonesia, Pak Saiful Hadi.

Cuma, pada kali ini bukan hanya survival media arus perdana kerana kebanjiran media sosial diperkatakan lagi tetapi masa depan masyarakat dan negara yang menjadi pertaruhan.

“Terlalu banyak berita palsu diviralkan hingga masyarakat tidak tahu apa fakta yang sebenarnya. Lebih buruk lagi apabila sesuatu berita bohong dijawab pula dengan satu lagi lagi berita bohong,” kata Pak Saiful yang mengulas trend baharu dalam kempen pemilihan pilihan raya daerah seluruh republik itu yang sedang berlangsung sekarang.

Tidak mustahil gejala ini boleh merebak kepada jika tercetus isu isu sensitif membabitkan kedua-dua negara. Awas dengan apa yang kita re-tweet, forward, share dan broadcast.

Bagi ISWAMI, ia boleh membetulkan salah faham yang timbul daripada laporan media yang berat sebelah dalam konteks hubungan Malaysia dan Indonesia.

Kongsi pengalaman “ISWAMI boleh berkongsi pengalaman dan pendekatan. Dalam soal berita palsu yang menjejaskan negara, kita boleh saling membuat pencerahan yang terselaras,” sokong Ketua Umum ISWAMI Malaysia, Datuk Zulkefli Salleh yang juga Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Persoalannya, mengapa orang ramai mudah percaya kepada apa-apa yang dikhabarkan oleh pihak yang tidak kita kenali atau tahu kredibilitinya? Mengulas perkara itu, Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya merumuskan bahawa prinsip berita kini, iaitu menyemak fakta sudah dikompromi, kredibiliti media arus perdana turut digugat oleh media sosial.

“Khalayak cuma percaya berita yang selari dengan kecenderungan pemikiran mereka,” katanya. Jelas, kita terjebak dengan permasalahan apabila sebahagian besar berita diterima masyarakat bukan lagi terhasil lagi dari institusi.

“Kebanyakan berita tidak lagi melalui satu proses menyemak fakta, integriti sumber, mematuhi undang perundangan dan memelihara tanggung jawab sosial.

Teknologi yang sepatutnya membolehkan kita melakukan semua tanggungjawab itu lebih kemas digunakan media sosial menyampai perkara dengan pantas tanpa usul periksa.

Kesannya, ekosistem penjanaan intelektual dan daya fikir masyarakat dirosakkan.

Tokoh wartawan dan budayawan, Tan Sri Johan Jaaffar yang juga bekas Pengerusi Media Prima Bhd menegaskan dalam era siber, berita tidak lagi perlu diuji kesahihannya.

“Kita melahirkan pengunyah maklumat (guzzler of information) yang tidak mempersoalkan kesahihan berita.

Prinsip asas kewartawanan tentang kredibiliti sumber dan kandungan tidak lagi diguna pakai.

Begitu juga objektiviti berita. Banyak berita diterima bulat-bulat sebagai benar atau sahih oleh orang kebanyakan.

“Malah kita juga melahirkan forward generation yang bukan berkonotasi positif seperti berfikiran jauh atau ke hadapan tetapi forward apa sahaja yang kita terima di media sosial kepada orang lain walaupun kita tahu tak betul, belum terbukti sahih atau disangsikan kebenarannya.”

Urus informasi Bagi Johan, revolusi informasi di tangan orang yang salah menjadi lesen untuk menyebar fitnah. Ia boleh menjadi WMD atau senjata pemusnah besar atau mesin pemusnah massa.

Kita perlu mengurus informasi bukan menjadi hambanya, Indonesia sudah memulakan langkah memerangi berita palsu dengan mewujudkan Dewan Wartawan bagi menyenaraikan syarikat media yang patuh kepada prinsip kewartawanan untuk dijadikan rujukan umum.

Malaysia boleh mencontohinya, pada masa sama, wartawan veteran dan bekas Pengerusi BERNAMA, Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman berasa masyarakat juga perlu dididik untuk membezakan berita palsu dan benar.

Dalam persaingan politik pula golongan yang ditakrif sebagai atas pagar adalah sasaran sebenar pihak menyampaikan berita palsu.

Justeru, setidak-tidaknya orang ramai tahu menyemak URL sumber berita yang cuba menyamar seperti laman web rasmi media perdana.

Kita juga boleh menyemak berita dari sumber lain dalam internet, meneliti tarikh berita untuk mengesan berita lama kitar semula.

Kadangkala berita gempar yang diviral mengundang reaksi penjawat awam tanpa siasatan mendalam, mungkin kita masih ingat viral video ketuk ketampi ‘wanita China’ dalam keadaan berbogel pada 2005.

Ternyata, selepas beberapa hari baharu didedahkan bahawa identiti sebenar bahawa mangsa adalah wanita Melayu sedangkan China membuat bantahan dan Malaysia sudah mengutuskan wakil ke Beijing untuk meminta maaf.

Kita berharap insiden seperti itu tidak berulang tetapi tiada jaminan kita tiada prosedur menangani berita palsu.

Pada penghujung ucapan Jokowi ketika Hari Pers Indonesia itu beliau menggesa agar pengamal media berusaha dan berjuang memerangi berita palsu ini.

Media sosial pantas tetapi media arus perdana tepat. Itu kekuatan yang harus memacu media arus perdana dalam zaman siber mencabar ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.