Kiriman pada: Wed, Jan 25th, 2017

Azman Hashim Akan Bersara Dalam Enam Entiti Kumpulan AMMB

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Tokoh perbankan terkemuka negara, Tan Sri Azman Hashim merancang untuk bersara sebagai Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah yang disandangnya dalam enam syarikat di dalam AMMB Holdings Bhd pada tahun ini dan tahun depan.

Dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, AMMB berkata, Pengerusinya itu akan mula bersara dari AmMetLife Takaful Bhd pada akhir bulan depan, AmBank Islamic Bhd menjelang akhir April ini, sementara mula bersara dari AmMetLife Insurance Bhd dan AmGeneral Insurance Bhd, masing-masing pada akhir Disember ini.

Azman, 78, akan bersara daripada jawatannya di AmBank (M) Bhd dan AmInvestment Bank Bhd, masing-masing menjelang akhir Disember 2018.

“Dengan pelaksanaan perubahan dalam pengurusan kanan kumpulan dan AMMB serta entiti di bawah operasinya memulakan fasa pertumbuhan dan pembangunan selanjutnya, Tan Sri Azman yakin bahawa kini adalah masa yang sesuai untuk beliau memulakan peralihan jawatan Pengerusi yang dirancang dalam entiti operasi masing-masing,” kata AMMB.

Azman akan kekal sebagai Pengerusi AMMB Holdings dan akan memberi tumpuan terhadap inisiatif strategik bagi mengukuhkan kumpulan.

“Lembaga Pengarah amat menghargai dan bertuah kerana beliau bersetuju untuk kekal sebagai Pengerusi AMMB.

“Sejak 35 tahun lalu, Tan Sri Azman menjadi tunggak utama dalam membangunkan kumpulan ke tahap apa yang dicapai kini.

Beliau menjadi teladan dalam peranannya sebagai Pengerusi dalam entiti masing-masing.

“Sesungguhnya, perancangan peralihan dan penggantian adalah satu lagi bukti pandangan jauh beliau dalam mengukuhkan pertumbuhan kumpulan dalam dekad akan datang,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.