Kiriman pada: Mon, Aug 24th, 2015

Azmin lari jawab lapan isu pokok DEIG

Kongsi maklumat ini
Tags

Budiman-Mohd-ZohdiKUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sehingga kini cuba mengelak daripada menjawab lapan persoalan utama penubuhan entiti baru Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Selangor, Budiman Mohd Zohdi berkata, kegagalan itu menjadikan rakyat semakin tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri.

“Jawapan Azmin akan kelangsungan DEIG ini sekiranya diteruskan ternyata semakin membimbangkan rakyat. Sehingga ke saat ini, rakyat masih belum dapat menerima kewajaran penubuhan DEIG. Sejumlah lapan isu pokok yang diutarakan dari jawapan Azmin masih gagal dijawab.

“Kecenderungan jawapan Azmin menjurus kepada peranan kerajaan negeri dan tidak menjawab akan keperluan dan kepentingan penubuhan DEIG berbanding Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sedia ada,” katanya dalam sidang media di Bangunan UMNO Selangor, di sini hari ini.

Azmin sebelum ini dilapor berkata DEIG ditubuhkan untuk memberi fokus kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan semata-mata.

Jelasnya, entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh MBI itu juga dibangunkan bagi mengurangkan impak serta risiko perniagaan secara terus terhadap kerajaan negeri.

Budiman sebelum ini memberitahu ADUN BN Selangor sedang mengkaji kemungkinan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan penubuhan entiti DEIG yang akan menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah MBI.

Jelasnya, pihaknya akan bertindak sedemikian jika perlu kerana DEIG yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1967 pada Disember tahun lepas tidak memerlukannya diaudit dan melaporkan prestasi serta kewangan kepada DUN.

Kata Budiman, Azmin tidak menjawab dengan jelas antaranya persoalan membabitkan operasi, pendaftaran, ketelusan, peranan serta pelantikan jawatan tertinggi di dalam DEIG sendiri.

“Persoalan seterusnya ialah Azmin mengatakan dengan jelas dan terang bahawa DEIG masih belum beroperasi dan hanya akan bermula pada suku tahun pertama 2016.

“Isunya di sini adakah benar syarikat ini sememangnya belum beroperasi?” tegasnya.

Dalam pada itu Budiman turut mengajak Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua untuk bersama merungkai kebimbangan rakyat mengenai isu berkenaan.

“Sehingga kini tiada kenyataan yang jelas berkaitan pendirian mereka terhadap isu ini.
“Mereka selalu bercakap mengenai soal integriti, ketelusan dan akauntabiliti. Ketelusan sebenar perlu melangkaui sempadan politik kepartian.

“Percakapan berdolak-dalik dan tidak menjawab persoalan sebenar. Semakin lama rakyat akan semakin bimbang mengenai isu ini,” katanya.

Pada Ahad, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Azmin disaran mengambil pendekatan memanggil Ketua Audit Negara untuk meneliti pengendalian aset DEIG sebagaimana yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tegasnya, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang salah laku berhubung pengurusan syarikat terbabit.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.