Kiriman pada: Mon, Aug 10th, 2015

Bahasa Melayu bahasa yang sangat cantik

Kongsi maklumat ini
Tags

10hm211.transformedPutrajaya: “Bahasa Melayu sangat cantik, ada pantun, peribahasa dan perkataannya ada irama, itu yang mendorong saya untuk terus mempelajari bahasa ini,” kata Johan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2015 Piala Perdana Menteri (PABM 2015) bagi kategori Antarabangsa, Joshua Parfitt, 22.
Pemuda berasal dari United Kingdom (UK) itu berkata, dia sangat bangga apabila diumumkan sebagai pemenang bagi kategori berkenaan.
“Saya sangat bangga kerana peserta lain sangat hebat, pada mulanya saya pun tidak sangka menang.
“Saya bercadang menyumbangkan sebahagian daripada wang kemenangan ini kepada organisasi mesra alam, tetapi saya belum membuat keputusan lagi organisasi mana,” katanya ketika ditemui media selepas pertandingan akhir PABM 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam kelmarin.
Hadiah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Parfitt yang memilih tajuk ‘Penyelesaian Sudah Ada Di Persekitaran Kita’ mengalahkan Emma Cecilia Roberts (Australia) yang merangkul tempat kedua dan ketiga Wyatt Evan Gordon (Amerika Syarikat).
Kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai AS$7,000 (RM27,462), Piala Pusingan Perdana Menteri, piala iringan, sijil penghargaan dan hadiah sampingan.
Bagi peserta Malaysia, Mohd Akmal Aizat Umar, 23, yang diumumkan sebagai johan kategori Alam Melayu, persaingan daripada dua peserta lain sangat sengit, tetapi dia mengambil pendekatan menggunakan teks baru yang berbeza pada peringkat awal dan separuh akhir untuk menarik perhatian juri.
Penuntut jurusan Ijazah Teknologi Maklumat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, teks itu sengaja disimpan di pentas akhir dan ternyata strategi itu berjaya apabila dia berjaya mengalahkan seorang lagi wakil negara, Janise Then Siaw Lian, 23, dan peserta Thailand, Awabeen Samsuding.
Seorang lagi penuntut UIAM Mahmoud Abdel Fattah Ibrahim Essa berasal dari Mesir diumumkan sebagai juara kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM).
Katanya, usahanya mendalami bahasa Melayu adalah bagi memudahkannya mengajar bahasa Arab kepada penuntut Melayu di universiti itu.
Naib juara kategori ini dimenangi wakil dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Waleed Basil Mohammed Ali (Iraq) dan tempat ketiga wakil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Maher GM Abdol Rasol (Libya).
Mohd Akmal dan Mahmoud Abdel Fattah turut menerima wang tunai AS$7,000 (RM27,462), Piala Pusingan Perdana Menteri, piala iringan, sijil penghargaan dan hadiah sampingan.
Sementara naib juara dan pemenang tempat ketiga bagi semua kategori menerima wang tunai AS$5,000 (RM19,616) dan AS$3,000 (RM11,769), piala iringan dan hadiah iringan berserta sijil.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.