Kiriman pada: Sat, Jul 25th, 2015

Bahayanya Siar Visual Suspek Jenayah Kena Belasah Di Media Sosial

Kongsi maklumat ini
Tags

JVSETI260213Kuala Lumpur – Tindakan merakam dan memuat naik kejadian membelasah suspek jenayah merupakan perbuatan bahaya kerana ia boleh mencetuskan salah faham kepada pengguna media sosial yang lain.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata walaupun ia mungkin berniat memberi pengajaran dan kesedaran, namun kejadian itu dikhuatiri akan diputar belit pihak tertentu sehinggakan orang ramai yang tidak berada di kawasan kejadian tidak akan mengetahui situasi sebenar dan akan tersalah anggap.

Mengambil contoh insiden di pusat beli-belah Plaza Low Yat di sini baru-baru ini, beliau berkata kejadian yang pada mulanya berpunca daripada kes curi telefon bimbit, menjadi isu yang lebih serius apabila ia dikaitkan dengan isu perkauman.

“Viral itu sangat bahaya misalnya kejadian di Low Yat. Orang ramai ambil kesempatan memutarbelitkan insiden itu dan menyebarkannya sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu Lee turut mengulas mengenai kejadian-kejadian membelasah suspek jenayah sehingga ada yang membawa kepada kematian.

Kejadian terbaru yang dilaporkan di Felda Jengka 17 di Maran, Pahang, dua lelaki dibelasah sebelum dipaksa memakan najis lembu dan kereta sewa mereka dibakar sehingga hangus oleh orang ramai kerana disyaki mahu mencuri lembu.

Beliau berkata individu terlibat membelasah suspek jenayah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika suspek dipukul sehingga mati, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Lee berkata perbuatan terburu-buru mengikut emosi itu akan mendatangkan padah kepada diri sendiri walaupun tindakan itu pada asalnya bertujuan sekadar untuk memberi pengajaran.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.