Kiriman pada: Tue, Jan 12th, 2016

BANGUNAN KERAJAAN DIBINA IKUT PIAWAIAN QLASSIC MENJELANG 2018

Kongsi maklumat ini
Tags

jyfkjKuala Lumpur – Semua bangunan kerajaan akan dibina menggunakan piawaian daripada Pentaksiran Kualiti Dalam Sistem Pembinaan (QLASSIC) menjelang 2018 bagi menjamin kualiti dan mengurangkan kos pembinaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusoff berkata melalui peraturan tersebut, Jabatan Kerja Raya akan memastikan setiap pemaju dan kontraktor menggunakan piawaian yang dikeluarkan QLASSIC sebelum sesebuah bangunan kerajaan dibina.

“Peraturan baharu ini diharap dapat menjamin kualiti sesebuah projek pembinaan bangunan selain mengelakkan kemungkinan berlakunya pengingkaran peraturan dan standard yang telah ditetapkan kementerian,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada 20 kontraktor bagi projek Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di Kementerian Kerja Raya.

Fadillah berkata peraturan baharu itu boleh mengurangkan kos berikutan kerja-kerja pembinaan yang tidak mengikut peraturan selain mengelakkan pembaziran wang rakyat.

Menurutnya pihak kontraktor perlu mematuhi setiap spesifikasi yang telah dinyatakan dalam kontrak, termasuk pengurusan keselamatan dan kesihatan tapak binaan, meningkatkan mutu kerja pembinaan, mengurangkan berlaku kecacatan binaan serta risiko kemalangan di tapak binaan.

Pada sidang media selepas majlis itu, Fadillah berkata kementeriannya akan meneruskan semua projek pembangunan infrastruktur yang menjadi keperluan utama rakyat.

Beliau berkata langkah penjimatan yang dibuat kerajaan tidak akan menjejaskan projek yang telah dirancang dalam pelan pusingan pertama RMK-11 termasuk 37 projek baharu.

Mengenai projek sakit, Fadillah berkata setakat 30 Nov 2015, kira-kira 60 projek sakit direkodkan di bawah RMK-10.

Dalam RMK-10, JKR menerima peruntukan sebanyak RM32 bilion dan telah membelanjakan RM30 bilion (96 peratus) melibatkan 5,498 projek manakala 734 projek lagi dalam peringkat pra pembinaan dan peringkat pembinaan.

Mengulas mengenai kontraktor Gred G1 (Kelas F), Fadillah berkata kementerian itu menyediakan projek bernilai RM40 juta untuk kontraktor terbabit pada tahun ini berbanding RM28 juta tahun lalu.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.