Kiriman pada: Tue, Feb 21st, 2017

Bantuan Secara Bersyarat Hanya Gimik Politik Kit Siang

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, yang mengenakan syarat untuk membantu meneliti kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar tahun 1990-an disifatkan sebagai gimik politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Kit Siang sepatutnya menawarkan diri secara sukarela jika jujur ingin membantu Pasukan Petugas Khas untuk menganalisis isu berkenaan.

“Syarat dikenakan Kit Siang tidak relevan dan berasas berikutan mahu syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disiasat semula.

“Syarikat itu sudah disiasat oleh Pasukan Petugas Khas yang terdiri daripada Ketua Audit Negara, Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Malah, PAC turut dianggotai penggubal undang-undang daripada pihak pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, penubuhan pasukan itu yang dipersetujui Kabinet tertakluk kepada terma rujukan bagi menganalisis dan meneliti.

“Pasukan petugas itu akan mengambil tindakan sewajarnya selepas siasatan awal selesai dalam satu jangka masa yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, mendedahkan bank pusat berkenaan terbabit dalam perdagangan spekulasi mata wang antarabangsa yang berisiko tinggi pada 1991 hingga 1993 sehingga menyebabkan kerugian lebih daripada jumlah yang dilaporkan.

Menerusi kegiatan perdagangan mata wang sepanjang tempoh berkenaan, BNM dilaporkan mengalami kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.