Kiriman pada: Mon, Jan 11th, 2016

Bauksit jejaskan sektor perikanan, pertanian

Kongsi maklumat ini
Tags

AHMAD SHABERY CHEEK / NOTA BANTAHAN GRED PADIPUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima laporan kira-kira 500 nelayan terjejas pendapatan akibat kegiatan perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang. Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kebanyakan nelayan yang terjejas adalah dari Beserah dan berdekatan Pelabuhan Kuantan. Katanya, hasil tangkapan golongan itu berkurangan dan tiada had masa diberi untuk menangani permasalahan itu sehingga soal pengurusan bauksit dapat diselesaikan dengan baik. “Ini adalah laporan diterima kementerian mengenai kegiatan di tepi pantai dan kita harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin. “Dalam sektor pertanian, tanaman turut terjejas kerana kebanyakan pokok kelapa sawit di kawasan berkenaan dipotong terus. “Pasti ada sektor pertanian lain akan dikenal pasti terjejas susulan kegiatan perlombongan bauksit. Ketika ini, kebanyakannya ialah penanaman kelapa sawit dan aktiviti perikanan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya, di sini, sebentar tadi. Perlombongan bauksit yang tidak terkawal di kawasan Bukit Goh, Gebeng dan Pelabuhan Kuantan sejak pertengahan tahun 2014 menyebabkan penduduk setempat menanggung kesan debu teruk manakala sungai dan laut bertukar warna menjadi merah, dipercayai dicemari bahan galian bauksit selepas hujan pada 28 Disember tahun lalu. Sebelum ini, media melaporkan pendapatan nelayan dan petani terjejas akibat kegiatan perlombongan bauksit dan fenomena ‘laut merah’ dikesan di pesisiran pantai Balok ke Batu Hitam. Malah, Kabinet turut mengarah kegiatan perlombongan bauksit di Pahang dihentikan tiga bulan mulai Jumaat ini berikutan bantahan penduduk dan risiko pencemaran. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shabery berkata, kementerian bersedia bagi menghadapi cuaca panas akibat El-Nino. “Kita akan membekalkan pam air untuk keperluan tanaman yang memerlukan banyak air seperti padi,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.