Kiriman pada: Thu, Mar 5th, 2015

Bekalan air di Selangor pulih mulai hari ini, esok

Kongsi maklumat ini
Tags

damSHAH ALAM: Gangguan bekalan air terawat di wilayah Petaling, Kuala Langat dan Sepang dijangka pulih sepenuhnya hari ini manakala daerah Hulu Langat pula menjelang pagi esok setelah terjejas akibat pencemaran sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib, berkata proses penyaluran semula itu dilakukan setelah loji rawatan air Sungai Semenyih mampu beroperasi pada kapasiti penuh sejak 3 pagi semalam.

Katanya, analisis pensampelan in-situ bagi parameter pH, ammonia dan mangan di Sungai Semenyih dan anak-anak sungainya yang dibuat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Konsortium ABASS Sdn Bhd mendapati ia berada pada kadar normal.

“Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengenal pasti punca yang menyebabkan pencemaran itu berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) akan terus menyediakan bantuan bekalan air kecemasan melalui 49 lori tangki yang digerakkan mulai kelmarin bagi mengurangkan kesulitan pengguna di kawasan yang masih terjejas.

Zaidy turut menggalakkan pengguna yang mengalami gangguan bekalan air untuk mendapatkan perincian status pemulihan mengikut kawasan menerusi laman web SYABAS iaitu www.syabas.com.my.

Gangguan bekalan air dan tekanan air rendah sejak kelmarin menjejaskan 39 kawasan di Petaling yang melibatkan 135,000 pintu rumah, 72 kawasan di Kuala Langat melibatkan 45,029 pintu rumah, 216 kawasan di Hulu Langat melibatkan (146,954 pintu rumah) dan 61 kawasan di Sepang melibatkan 148,236 pintu rumah.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.