Kiriman pada: Fri, Jan 15th, 2016

Bekalan ikan di pasaran mencukupi

Kongsi maklumat ini
Tags

KL02_150116_LAWATANKUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi jaminan bekalan ikan di pasaran mencukupi. Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenainya kerana kementerian akan memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi dari semasa ke semasa. “Selain itu, harga jualan ikan sekarang adalah stabil dan tiada kenaikan harga secara mendadak. Sekiranya ada kenaikan, pihak yang berwajib perlu melakukan siasatan adakah ia disebabkan oleh orang tengah sehingga harga yang dijual kepada pengguna adalah mahal,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Borong Kuala Lumpur, awal pagi ini. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Irmohizam Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin. “Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan harga jualan ikan dan sayur di pasar borong ini selepas bertemu dengan peniaga ikan dan sayur serta mendengar taklimat yang diberikan wakil Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dalam memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi,” katanya. Ahmad Shabery berkata ikan yang diimport turut berperanan menstabilkan harga ikan tempatan kerana harganya yang lebih murah dan buat masa ini kementerian tidak bercadang untuk mengawal jumlah import dan eksport ikan. Dalam pada itu, beliau berkata kementerian juga akan memastikan keperluan bekalan makanan mencukupi menjelang musim perayaan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.