Kiriman pada: Tue, Feb 21st, 2017

Bekas EXCO Selangor Meninggal Dunia

Kongsi maklumat ini
Tags

Shah Alam – Bekas EXCO Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan, meninggal dunia awal pagi tadi dipercayai akibat menghidap barah pankreas.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail, dalam satu kenyataan, berkata Allahyarham Mohd Mokhtar, 73, meninggal dunia pada jam 3.34 pagi tadi.

Difahamkan, Allahyarham Mohd Mokhtar meninggal dunia ketika dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara.

“Sama-samalah kita memaafkan dan menghalalkan perkara yang bersabitan antara diri kita dan Allahyarham, dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

“Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Warga Subang amat bersedih dengan pemergian seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada masyarakat, negeri dan negara,” katanya.

Sementara itu, jenazah Mohd Mokhtar sudah dibawa balik ke kediamannya di Shah Alam dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada jam 11 pagi ini.

Allahyarham Mohd Mokhtar menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelana Jaya pada 1995 dan 1999 serta di kerusi Kota Damansara pada Pilihan Raya Umum tahun 2004 selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2000 selain menjadi EXCO Selangor dari 1999 hingga 2008.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.